Nasional

Akad nikah di P. Pinang ditangguh hingga selesai PKP

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menangguhkan segala urusan akad nikah umat Islam selaras dengan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Zulkifli Long berkata penangguhan itu akan dilanjutkan sehingga satu tempoh yang ditentukan kemudian bagi memastikan semua rakyat Pulau Pinang terus mematuhi PKP serta menjaga kemaslahatan semua pihak yang terbabit dalam urusan majlis akad nikah.

“Untuk makluman semua, kami telah memutuskan sepanjang tempoh PKP fasa ketiga tidak dibenarkan majlis akad nikah dijalankan termasuk secara sidang video seperti dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan semalam.

“Setakat ini, masih belum ada keperluan untuk berbuat demikian (akad nikah secara sidang video),” katanya ketika dihubungi Bernama di George Town hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai yang ingin membuat permohonan kebenaran bernikah masih boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi laman sesawang JHEAIPP sepanjang tempoh PKP.

“Selepas PKP nanti, pemohon perlu mencetak semua borang yang mereka isi menerusi dalam talian untuk dikemukakan kepada JHEAIPP bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

JHEAIPP sebelum ini menangguhkan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah bermula 1 hingga 14 April lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebelum ini berpandangan tidak ada halangan untuk pasangan pengantin untuk bernikah secara panggilan video atau Skype berikutan Perintan Kawalan Perjalanan

Zulkifli yang menjawab soalan pengikut di Twitternya yang menggunakan akaun Doktor Suam Suam berkata, bagaimanapun persetujuan perlu diperolehi daripada majlis agama Islam negeri berkenaan dan ia hanya boleh dilakukan ketika dalam keadaan darurat.

“Secara asasnya, saya bersetuju. Cuma ia tertakluk kepada keizinan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, Dan ia mestilah kerana darurat,” kata Zulkifli.

Malah buat julung kalinya semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan majlis akad nikah bagi sepasang pengantin secara sidang video.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata perkara itu adalah selaras dengan ketetapan baharu JAWI semalam yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang telah memperolehi kebenaran berkahwin daripada pihak berkuasa agama itu, untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video berdasarkan garis panduan dan borang permohonan yang telah ditetapkan melalui laman web www.jawi.gov.my.

“Ia juga selari dengan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-97 yang bersidang pada 15 hingga 17 Dis 2011, yang memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun Mohd Ajib berkata, urusan lain seperti permohonan kebenaran berkahwin untuk pasangan yang belum lagi mendapat kebenaran berkahwin, pendaftaran nikah, cerai, rujuk, dan kursus praperkahwinan Islam ditangguhkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“InsyaAllah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran, kita semua akan dilindungi Allah SWT dan berjaya membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berkongsi pandangan mengenai majlis akad nikah pasangan berkenaan melalui laman Facebooknya.

Majlis akad nikah secara sidang video itu adalah yang pertama di negara ini membabitkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Shariff. – SM

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button