Nasional

Anak Mukhriz mohon maaf, malu dengan apa yang berlaku

ANAK kepada Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, iaitu Meera Alyanna Mukhriz telah memohon maaf ekoran tindakan melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga dikenakan denda pada minggu lalu,

Melalui hantaran di Instagram, anak sulung Mukhriz itu, .mengaku dirinya tidak bertanggungjawab kerana berada di lokasi tersebut selepas tengah malam dan melanggar PKPP.

“Selama seminggu yang lalu, saya bermuhasabah mengenai akibat daripada tindakan saya, dan saya sangat menyesal. Melanggar had jam malam 12 malam bukan sahaja tidak cerdik di pihak saya, tetapi sama sekali tidak bertanggungjawab mengambil kira wabak yang sedang kita lalui.

“Saya sangat malu dengan apa yang saya lakukan terhadap keluarga saya, rakan-rakan saya dan anda semua.

“Tidak ada alasan apa pun (untuk mewajarkan) tindakan saya, dan anda berhak untuk kecewa, tetapi ia tidak melebihi kekecewaan yang saya tanggung untuk diri saya sendiri,” kata Meera Alyanna.


Mukhriz sebelum ini mengesahkan anak dan menantunya antara individu yang ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 22 Ogos lalu.

Menurutnya, anak dan menantunya melanggar kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan telah membayar kompaun yang dikenakan terhadap mereka.

“Memang benar, anak dan menantu saya sudah dibawa ke balai bersama 27 orang yang lain atas kesalahan melanggar PKPP. Mengikut kenyataan polis, mengikut undang-undang berkaitan mereka semua dikenakan kompaun RM1,000. Semua sudah bayar termasuk anak dan menantu saya,”  kata Mukhriz.

Mukhriz yang kecewa dengan insiden itu berkata, beliau sudah memberi peringatan kepada anggota keluarganya untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi mengekang wabak Covid-19.

Meera Alyanna menjelaskan, dia bersama suaminya Ezran Daud Cheah ditangkap dan dibawa ke balai polis setelah petugas menyerbu tempat di mana mereka berada kira-kira pukul 1:30 pagi 21 Ogos.

Mereka kemudian membayar denda RM1,000.

“Pegawai polis sangat sopan dan adil terhadap semua orang di sana pada malam itu, dan saya sangat menghormati profesionalisme mereka,” katanya. – SM

 

(Visited 133 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button