albatros

Letih dengan penunggang agama dan bangsa

HAMPIR 30 tahun menjadi wartawan, saya sebenarnya sudah letih dengan golongan yang gemar menunggang agama dan bangsa.

Tidak menjadi masalah jika kita mengutamakan agama dan bangsa, tetapi perkara itu sering dijadikan modal oleh banyak pihak untuk mengaut kepentingan.

Bak kata seorang rakan saya di dalam parti yang konon memperjuangkan Islam paling ramai penunggang agama di dalamnya.

Saya turun satu pengalaman peribadi ketika berurusan dengan pemimpin parti yang menunggang bangsa dan agama.

Saya dimaklumkan ada inisiatif diambil untuk menjadikan para pejuang pertubuhan bukan kerajaan turut bertanding pada pilihan raya, sebagai alternatif kepada politikus yang semakin tidak digemari oleh masyarakat.

Saya hadir bukan kerana kemaruk hendak menjadi calon pilihan raya, tetapi tertarik dengan idea memberi alternatif kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang lebih rapat dengan mereka, tetapi tidak mewakili parti politik.

Saya menunggang motosikal Vespa buruk untuk ke lokasi pertemuan iaitu di sebuah restoran sate milik seorang ahli politik.

Nak dijadikan cerita dalam perjalanan, hujan turun lebat dan saya basah kuyup. Saya tetap meneruskan perjalanan kerana semangat untuk membawa perubahan kepada masyarakat Malaysia.

Dek kerana jalan basah dan licin, motosikal saya tunggang dengan berhati-hati serta perlahan dan tiba ke lokasi agak lewat.

Saya lihat ramai yang berkumpul. Selepas selesai berbincang dan percambahan idea. Saya mahu pulang.

Saya lihat seorang ustaz yang kerjanya meminta bantuan kononnya untuk membantu anak yatim dan golongan terpinggir dijemput oleh pemandu peribadinya dengan kereta Velfire. Begitu juga pejuang peniaga Melayu, pejuang jalan rosak dan ramai lagi pejuang semuanya datang dengan kereta mewah serta mempunyai pemandu.

Hanya saya yang menunggang motosikal buruk dan terpaksa pusingan kedua meredah hujan untuk pulang ke rumah di tengah malam.

Selepas itu saya memutuskan untuk tidak lagi menghadiri perjumpaan sedemikian, kerana motif mereka hanyalah untuk menunggang agama dan bangsa. Di dalam kumpulan itu hanya penuh dengan para penunggang.

Hanya saya penunggang motosikal buruk.

(Visited 2,481 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button