Analisis

Ku Li: Negarawan yang tidak kesampaian menjadi perdana menteri

1. Isu paling menarik minggu ini adalah berkenaan dengan perlancaran Buku Tengku Razaleigh Hamzah, yang bertajuk *KU LI : MEMOIR 205.*

Buku ini ditulis oleh penulis bernama Zinitulniza Abdul Kadir dan dilancarkan oleh Tun Musa Hitam sarat dengan cerita dan kisah politik suka duka Ku Li sepanjang karier politik beliau terutama kisah ketika Ku Li bersama Tun Musa didalam Team B menentang Gabungan Team A yang terdiri daripada Tun Mahathir dan Tun Ghafar Baba untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

2. Di dalam Buku tersebut, Ku Li menceritakan bagaimana ada Perjanjian antara Tun Hussien Onn dengan Tun Mahathir agar Ku Li di lantik sebagai Timbalan Perdana Perdana, pewaris kepada (power transition) Jawatan Perdana Menteri selepas Tun Hussien dan Tun Mahathir.

Walau bagaimanapun, apabila Tun Mahathir tidak di cabar oleh sesiapa untuk jawatan Presiden UMNO, effectively akan menjawat jawatan Perdana Menteri, Tun Mahathir telah pada 12hb. Mei 1981 mengumumkan bahawa sekiranya Tun Hussien bersara dan dia dipilih sebagai Presiden UMNO maka Timbalan Presiden UMNO akan ditentukan oleh Ahli-Ahli Perwakilan UMNO.

Bermakna pemenang di dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada Jun tahun 1981 akan menentukan siapa bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Maka dengan ini, perjanjian awal antara Tun Hussien Onn, Tun Mahathir dan Ku Li pun *TERBATAL*.

Di dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO tahun 1981 itu, Tun Mahathir menang tanpa bertanding, manakala Tun Musa Hitam mendapat 722 undi untuk menjadi Timbalan Presiden mengalahkan Ku Li yang mendapat 517 undi.

3. Ku Li cabar Tun Musa Hitam sekali lagi pada pemilihan tahun 1984 dan kalah kali kedua.

Tun Musa ketika itu dilihat letih menerima dua kali Cabaran dari Ku Li untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO dan meminta Tun Mahathir menggugurkan Ku Li dari Kabinet.

Tun Mahathir dilihat amat pintar dan bijak (brilliant) di dalam percaturan politiknya ataupun *POLITICAL MANEUVER* kerana Tun Mahathir tidak menggugurkan Ku Li dari Kabinet, sebaliknya memindahkan Ku Li dari Menteri Kewangan kepada Menteri Perdagangan dan Industri.

4. Seperkara yang ingin saya kongsikan di sini berlaku pada tahun 1989 ketika saya masih menuntut di London dan menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Kelab UMNO United Kingdom pada ketika itu.

Saya berkesempatan dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Mahathir pada ketika itu, ketika Tun Mahathir berada di London berehat setelah menjalani operasi jantung, first cardiac coronary bypass oleh Tan Sri Dr. Yahya Awang.

Tun Mahathir ketika berehat di London mahu berjumpa dengan pelajar-pelajar Malaysia tetapi kerana kesihatan yang tidak mengizinkan dia tidak dapat adakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia seperti kebiasaan samada di Malaysia Hall London atau di Malaysian High Commission tetapi kali ini, dua pelajar Malaysia di pilih dan di panggil untuk adakan pertemuan dengan Tun di York House London berdekatan dengan Kensingston High Street.

5. Pertemuaan yang dijadualkan selama 30 minit telah berlanjutan selama 1 jam.

Saya ambil kesempatan ini bertanyakan pelbagai soalan kepada PM Tun Mahathir didalam pertemuan enam mata tersebut.

Di antara soalan yang saya tanya ialah kenapa ketika Tun Razak meninggal dunia, apabila jawatan Perdana Menteri di ambil alih oleh Tun Hussien, kenapa pada ketika itu Tun Hussien memilih Tun Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bukannya Ku Li ?

Kerana kita semua tahu, pada awalnya Tun Hussien mahu memilih Tan Sri Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi cadangan ini ditolak oleh ketiga-tiga Naib Presiden UMNO Malaysia.

Akar Umbi UMNO juga merasakan Tun Hussien perlu memilih dari kalangan salah seorang daripada Naib Presiden sedia ada, untuk jawatan TPM tersebut.

Maka, pilihan Tun Hussien ketika itu adalah di kalangan Naib Presiden iaitu Ku Li, Ghafar Baba dan Mahathir.

Saya beri pandangan kepada Tun Mahathir ketika itu, bukankah Ku Li paling Senior dari ketiga-tiga Naib Presiden dengan undi terbanyak. Manakala, Tun Mahathir baru sahaja kembali semula ke dalam UMNO setelah di pecat oleh Tuanku Abdul Rahman.

Tun Mahathir jawab, “saya sendiri pun tidak berapa pasti kenapa Tun Hussien pilih saya. Saya pun tidak berapa rapat dengan Tun Hussien pada ketika itu.”

Berkemungkinan kerana pada ketika itu, Tun Hussien merasakan saya calon yang paling sesuai untuk jadi Timbalan Perdana Menteri untuk digandingkan dengan dirinya.

Apa yang pasti Tun Mahathir kata, berkemungkinan Tun Hussien takut kepada pengaruh dan kekuatan Ku Li di dalam UMNO akan *OVER SHADOW* Pentadbiran Tun Hussien sebagai Perdana Menteri.

Malahan, Tun Mahathir kata, Ku Li adalah Menteri kesayangan Tun Razak. Tun Razak mahukan Ku Li satu hari nanti jadi Perdana Menteri Malaysia.

Itulah dia, sebahagian sejarah politik Negara Malaysia.

Sejarah Suka Duka Politik Ku Li.

Akhirnya, *POLITICAL MANEUVERING* oleh Tun Hussien Onn dan kemudiannya oleh Tun Mahathir, menyebabkan Ku Li tidak kesampaian untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Saya akan beli dan baca Buku Ku Li Memoir 205 yang di tulis oleh Datin Zinitulniza Abdul Kadir, 338 muka surat yang pasti penuh sarat dengan sejarah UMNO dan Negara.

Didoakan semoga Ku Li terus sehat dan di panjangkan umur bersama keluarga tersayang.

*SEKIAN.*

(Visited 62 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Dato' Saiful Bahar

Penulis merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2008-2009), bekas Setiausaha Sulit Kanan kpd. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013). Beliau juga bekas Penasihat Khas kpd. Menteri Peladangan dan Komoditi (2016-2018). Pernah bertugas dengan 3 Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta telah berkhidmat di 8 Kementerian sepanjang 18 tahun di Putrajaya. Ketika ini, beliau merupakan Penganalisa Politik dan Polisi Kerajaan untuk Badan Bebas dan News Portal.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button