Nasional

Kematian akibat Covid kini 601 kes, 240 ditempatkan di ICU

JUMLAH kematian akibat Covid-19 kini meningkat kepada 601 orang selepas tujuh lagi kes kematian dilaporkan hari ini. Sebanyak enam kes melibatkan warganegara dan seorang rakyat asing.

Tiga kes kematian berlaku di Selangor, Johor (2) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Kedah yang melibatkan tiga lelaki dan empat wanita berusia antara 32 hingga 93 tahun.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah sepanjang tempoh 24 jam lalu sebanyak 3,339 kes baru dikesan dengan 15 daripadanya membabitkan kes import.

Manakala bilangan yang sembuh pula seramai 2,676 orang. Jumlah kes aktif kini sebanyak 37,782 orang iaitu pertambahan 656 kes berbanding semalam

Bilangan pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini seramai 240 orang iaitu pertambahan sebanyak 35 kes. Daripada jumlah itu seramai 93 orang memerlukan alat bantuan pernafasan iaitu pertambahan 14 kes berbanding semalam.


Selangor kekal menjadi negeri paling banyak mencatatkan kes baru iaitu 1,314 diikuti Sabah (393), Johor (362), Kuala Lumpur (334), Negeri Sembilan (236), Pulau Pinang (120), Kelantan (114) dan Perak (107).

Dalam pada itu sebanyak 10 kluster baharu dilaporkan iaitu di Selangor (2), Sabah (2), Kuala Lumpur (2), Johor (1), Pahang (1), Melaka (1) dan Labuan (1).

Satu kluster baharu iaitu Kluster Taman Ikan Jenahak di daerah Tuaran dan Kota Belud, Sabah melibatkan majlis hari keluarga.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-138292) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 12 Januari 2021 hasil saringan indvidu bergejala.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti majlis berkenaan yang telah diadakan di Taman Ikan Jinak Melangkap Tiong, Kota Belud. Sehingga hari ini sejumlah 46 individu telah disaring di mana 21 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” kata Dr. Noor Hisham.

Satu lagi kluster dikesan di daerah Temerloh dan Maran, Pahang melibatkan individu yang merentas negeri dari Selangor.  Kluster tersebut Kluster Rantau Lada melibatkan kes indeks (iaitu kes ke-133326) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman keluarga kes indeks iaitu di Kampung Bukit Lada, Temerloh, Pahang. Sehingga hari ini sejumlah 58 individu telah disaring di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Keseluruhan kluaster aktif ketika ini bertambah kepada 292 kluster. Daripada jumlah tersebut sebanyak 86 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Lebuh (253 kes), Kluster Jalan Rantau–Siliau (96 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (94 kes).

 

(Visited 61 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button