BanjirRencah Hidup

Misi lima hari Halo Prihatin bantu mangsa banjir

Oleh ERRY ARHAM AZMI

HALO Prihatin melaksanakan misi lima hari bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di tiga buah neger iaitu Kelantan, Pahang dan Johor.

Pelbagai bentuk bantuan dihulurkan bagi meringankan beban susulan bencana alam dan dalam masa sama krisis kesihatan turut melanda negara.

Hal demikian pasti merisaukan kerana keselamatan mereka ketika pandemik Koronavirus (Covid-19) dan bencana alam tidak boleh dikompromi.

Justeru, inisiatif diambil oleh syarikat Halo Telco melalui program Halo Prihatin melaksanakan Misi Banjir Halo Prihatin 2021.

“Misi bantuan ini telah dijalankan pada 9 hingga 14 Januari 2021. Bantuan kali ini lebih cepat disampaikan kerana kita mempunyai pasukan sukarelawan di seluruh Malaysia.

“Selain itu, bantuan ini dapat disalurkan setelah kita membentuk pasukan tindakan Halo Prihatin melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp dan Facebook.

“Jadi banyak maklumat kami terima daripada mangsa banjir di Pahang, Johor dan Kelantan.”

Demikian kata pengasas Halo Telco, Shukex, dalam satu kenyataan hari ini yang memaklumkan sejumlah RM30,000 dibelanjakan bagi menghulurkan bantuan kepada mereka.

Katanya, bantuan dihulur termasuklah dalam bentuk barangan seperti tilam, selimut dan wang tunai.

Tambah beliau, walaupun menghadapi kesukaran, misi tetap dijalankan kerana difahamkan kebanyakan mangsa boleh dikatakan kehilangan terus kediaman mereka.

“Banjir besar di beberapa daerah di negeri yang terlibat ini melibatkan ribuan mangsa banjir. Hubungan jalan yang terputus menyebabkan bantuan agak sukar disampaikan kepada mereka.

“Habis semua rumah tenggelam, perabot, barangan elektrik dan sebagainya telah rosak sepenuhnya. Kasihan kepada mangsa banjir kali ini,” luahnya.

Dalam pada itu, Shukex memberitahu usaha yang dilakukan Halo Telco ini bukanlah sumbangan persendirian sebaliknya hasil derma daripada pelanggan yang melanggan kad sim Halo Telco.

“Setiap pelanggan kami adalah mereka yang telah menderma melalui langganan simkad Halo Telco. Mereka lah yang menjadi penyumbang terbesar kepada misi ini.

“Tanpa mereka, tidak mungkin Halo Prihatin boleh meneruskan mini ini.

“Saya juga menyarankan agar semua rakyat Malaysia terus menggunakan kad sim Halo Telco untuk kita terus membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Pahang, Johor dan Kelantan merupakan negeri yang terjejas akibat banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari pada awal bulan ini.

Pahang merupakan negeri pertama dilanda banjir apabila air di beberapa batang sungai termasuk Sungai Pahang melimpah menyebabkan beberapa kawasan utama ditenggelami air.

Disusuli dengan Johor apabila beberapa bandar utama seperti Johor Bahru dan Kota Tinggi ditenggelami air selepas dilanda hujan lebat lebih daripada sehari. – SM

(Visited 523 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button