Nasionalpilihan

Kenaikan gaji penjawat awam akan diperincikan pada Belanjawan 2025

KENAIKAN gaji penjawat awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena himpunan Hari Pekerja hari ini akan diperincikan pada pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka pada Oktober akan datang.
Menteri Komunikasi yanhg juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kenaikan gaji melebihi 13 peratus itu membuktikan komitmen kerajaan kepada penjawat awam.
“Pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada hari ini amat-amat positif.
“Saya percaya inilah yang diperjuangkan golongan pekerja dan kita seharusnya menyambut baik usaha ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di Putrajaya  hari ini.
Pada majlis itu Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini, sekali gus yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara yang akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Fahmi ketika mengulas lanjut berkata kenaikan, berita baik untuk kakitangan awam itu adalah hasil daripada pengurusan dan tatakelola yang lebih baik diamalkan Kerajaan Perpaduan, terutamanya dalam usaha melawan rasuah.
“Jadi Perdana Menteri telah menjemput semua 16.5 juta pekerja di Malaysia untuk bersama dalam perjuangan membanteras rasuah kerana duit yang dapat diselamatkan itu seharusnya dipulangkan kepada rakyat,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula menyifatkan pengumuman itu sebagai tepat pada masanya.
Beliau yakin kenaikan gaji akan menaikkan lagi semangat penjawat awam untuk terus bekerja dengan cemerlang.
Beliau berkata pendirian Kerajaan Sarawak dan Sabah yang bersetuju menyelaraskan Ordinan Buruh Sabah, Sarawak dengan Akta Pekerjaan 1955 yang turut diumumkan Perdana Menteri juga bakal membolehkan pekerja tempatan di negeri berkenaan menikmati hak dan manfaat yang sama seperti di Semenanjung.
Perdana Menteri hari ini memaklumkan Kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap.67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.
Anwar berkata Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pembelaan dan kebajikan rakyat tidak pernah terhalang meskipun kerajaan menghadapi kekangan kewangan.
“Ditambah dengan usaha yang dibuat oleh kerajaan dalam menarik pelabur asing, kita harap pendapatan negara akan bertambah dan sebarang pendapatan kepada negara dapat dikembalikan kepada rakyat baik dari segi faedah atau kebajikan,” katanya. – SM
(Visited 26 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button