Nasionalpilihan

280 penghuni penjara dapat sijil kemahiran pengurusan sisa pepejal

SERAMAI 445 orang graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen SWCorp Kali Ketiga (Sijil Kemahiran Malaysia) yang diadakan bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Majlis konvokesyen yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib,

SWCorp telah ditauliahkan sebagai Pusat Latihan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 31 Januari 2019 untuk menjalankan Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional.

Seterusnya pada 31 Januari 2020, SWCorp turut dilantik sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body – ILB) oleh JPK bagi bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Konvokesyen kali ketiga ini meraikan seramai 445 orang graduan yang dianugerahkan Siji Kemahiran Malaysia yang terdiri daripada penghuni penjara dari 17 buah institusi penjara terpilih Semenanjung Malaysia, penyelia dan pekerja-pekerja daripada Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan Environment Idaman Sdn Bhd serta warga kerja SWCorp sendiri.

Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi merupakan satu lagi inisiatif baharu Kerajaan yang digerakkan bersama dua Kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp dan Kementerian
Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Penjara Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja mahir di dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Inisiatif ini selaras dengan enam nilai teras Malaysia ke arah kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar. Inisiatif baharu ini juga telah berjaya mencatatkan dua rekod baharu di dalam Malaysia Book of Records (MBR) iaitu :

SWCorp telah diperakui untuk disenaraikan sebagai The First Government Agency to Provide Solid Waste and Public Cleansing Management National Dual Training System Participated by Prison Inmates; dan Jabatan Penjara Malaysia telah diperakui untuk disenaraikan sebagai agensi yang melaksanakan The Most Prisons Participation in Solid Waste and Public Cleansing Management National Dual Training System in Total 17 Prisons.

Seramai 280 orang penghuni penjara di 17 Institusi Penjara di Semenanjung Malaysia telah terpilih bagi menyertai program yang julung kalinya diadakan pada tahun 2023 bermula 1 Jun 2023 dan berakhir pada 31 Januari 2024 yang lalu.

Melalui program latihan kemahiran secara teori dan amali ini, penghuni penjara didedahkan dengan skop berkaitan pelaksanaan cara kerja, pengendalian peralatan dan pematuhan keselamatan mengikut standard enam aktiviti utama pembersihan awam yang ditetapkan melalui kaedah SLDN.

Pelaksanaan SLDN ini adalah suatu usaha untuk mempersijilkan penghuni penjara dalam bidang kemahiran agar dapat menjadi suatu nilai tambah kepada mereka untuk diterima dalam pasaran kebolehkerjaan di Malaysia, bertujuan untuk memudahkan mereka dalam meneruskan kehidupan sama ada bekerja sendiri ataupun bekerja
dengan majikan dengan memperoleh sijil yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Kelainan yang ditonjolkan dalam Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi adalah peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada penghuni penjara setelah tamat latihan.

Syarikat Konsesi di bawah seliaan SWCorp telah melaksanakan ‘road tour’ temuduga di kesemua 17 buah institusi penjara yang terlibat dan seramai 137 orang penghuni penjara yang telah berjaya dalam temuduga tersebut bakal memulakan kerjaya di Syarikat Konsesi sebagai pekerja pembersihan di 7 buah negeri yang dikawal
selia oleh SWCorp pada bulan Jun 2024 akan datang.

Matlamat jangka panjang program ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan industri untuk mengambil
pekerja asing dan mengutamakan tenaga mahir yang terdiri daripada rakyat Malaysia.

SWCorp kini juga sedang giat untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu Pensijilan Kemahiran Malaysia yang mengguna pakai National Occupational Skills Standard (NOSS) bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (PSPPA) melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Syarikat Konsesi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) syarikat swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengoptimumkan latihan yang dijalankan bagi pembangunan modal insan demi mencapai sasaran untuk mempunyai sekurang-kurangnya
10,000 orang pekerja sektor ini mempunyai sijil kompetensi yang diiktiraf menjelang tahun 2030. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button