Ekonomi

Prestasi kewangan LBS kekal kukuh pada suku pertama 2024

 LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, hari ini mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (“Q1FYE2024”).

Bagi suku dalam tinjauan, LBS melaporkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (“PATMI”) sebanyak RM 30.53 juta, disokong oleh hasil sebanyak RM 342.1 juta.

Berbanding PATMI Q1 pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM 30.5 juta, keputusan Q1 tahun ini menunjukkan konsistensi dalam prestasi kewangan yang mantap dan strategi kewangan yang efektif.

Segmen pembangunan hartanah menyumbang sebanyak 96% daripada jumlah hasil Kumpulan, yang diraih menerusi  projek pembangunan utamanya di Lembah Klang, termasuk LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Prestige Residence, dan projek Rumah Idaman.

Secara signifikannya, segmen hartanah mengalami pertumbuhan ketara sebanyak 19% dalam PAT, mencapai jumlah RM 42.6 juta.

Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, “Kecekapan operasi dan usaha mengoptimumkan kos terbukti dengan peningkatan margin PATMI yang lebih baik, dengan peningkatan daripada 8% kepada 9% bagi suku dalam tinjauan. Ini memberi penanda aras kepada langkah progresif LBS di dalam mengekalkan margin keuntungan yang stabil.” 

Selaras dengan langkah strategik dan komitmen LBS untuk meningkatkan landskap hartanah, Kumpulan telah melancarkan tiga buah projek utama dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 1.12 bilion.

Pelancaran ini termasuk Projek Pangsapuri dan Rumah Bandar BSP Sutera, yang bernilai RM 207 juta, Projek Pangsapuri Perkhidmatan SkyRia di Puchong dengan nilai sebanyak RM 265 juta, dan juga Projek Alam Perdana Central Hub (Kilang Berkembar dan Kilang Teres) di Alam Perdana yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM 648 juta. 

“LBS juga turut teruja untuk mengumumkan bahawa unit-unit kilang Berkembar dan Teres  di Alam Perdana Central Hub yang telah dilancarkan baru-baru ini, menyaksikan kadar pengambilan sebanyak 50%. Berfungsi sebagai elemen perindustrian pusat, projek ini dilihat sebagai pemangkin kepada sektor logistik dan pergudangan yang semakin berkembang, didorong dengan lonjakan e-dagang.”

“Sebagai pemaju hartanah yang berpengalaman dalam segmen kediaman dan komersial, kilang Alam Perdana Central Hub mencerminkan keupayaan kami untuk bertindak di samping merebut peluang dalam segmen perindustrian.

“Ini didorong oleh permintaan pasaran Malaysia yang kukuh dan peningkatan dalam pelaburan sektor pembuatan, logistik dan teknologi, yang memerlukan ruang industri secara khusus.

“Dengan perancangan tepat dan kedudukan  strategik, kami memanfaatkan kepakaran LBS di dalam pembangunan hartanah untuk mewujudkan ruang industri yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang.

“Pelancaran baharu ini dijangka akan menyumbang secara positif bagi tempoh tiga tahun akan datang.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button