Nasional

Kerajaan rangka pelan pemulihan jalan keluar pandemik

Kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19 pada satu peringkat yang munasabah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata pelan yang dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan yang telah dilakukan termasuk dari segi pengurusan COVID-19, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya itu, akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu akan datang.

”Beberapa menteri utama yang terbabit sudahpun duduk membentangkan secara kasar kepada saya. Pada dasarnya baik, tetapi belum lagi diperhalusi.

“Sudah sampai masa kita nak tetapkan satu ‘exit strategy’ atau pelan pemulihan negara untuk kita keluar dari masalah ini, tetapi ini adalah cabaran yang besar bergantung pada kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Johor, Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur hari ini yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pelan itu juga antara lain sebagai makluman kepada rakyat mengenai perkembangan semasa dan fasa-fasa tertentu melibatkan pengurusan COVID-19 di negara ini.

“Ini akan kita teliti, dia (pelan) akan ada fasa satu, fasa dua… berdasarkan kepada data, sebagai contoh kalau (kes) COVID-19 kita lihat sudah ada petanda penurunan tapi tak boleh lagi meraikan kerana fasa belum selesai. Kalau boleh kita mahu kes turun lagi.

“Ini bermakna kita kena bantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan penjagaan kesihatan dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan kita tak runtuh… dengan hospital, kemudahan katil, ventilator, kakitangan hospital kita mencukupi. Semua ini sedang kita laksanakan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang mempertimbang untuk menetapkan satu tarikh akhir bagi pendaftaran vaksinasi COVID-19.

Katanya, buat masa ini proses pendaftaran dibuat secara terbuka dan sepanjang masa.

“Katakanlah (kita tetapkan) akhir bulan Julai, jadi siapa belum lagi mendaftar, sila daftar.

“Kalau ada yang berbaki kita bantu untuk daftar supaya semuanya sudah ada dalam sistem kita dan kita boleh rancang fasa-fasa seterusnya sehingga selesai program vaksinasi ini dilaksanakan di seluruh negara,” jelas beliau. – BERNAMA

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button