Politik

Kerajaan iktiraf sepenuhnya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

Kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah seksyen Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengulangi komitmen dan jaminan bahawa Kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawab semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat.

Ia termasuk mengiktiraf segala mekanisma yang wujud secara sah di sisi undang-undang.

Takiyuddin menegaskan Kerajaan tidak pernah campurtangan dalam sebarang urusan jawatankuasa tersebut.

Sebaliknya Kerajaan memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa tersebut dapat melaksanakan fungsinya.

“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 2 iaitu “Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID 19),” kata Takiyuddin.

Kerajaan menurut Takiyuddin, akan terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuatkuasa sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Justeru dalam keadaan negara kita masih lagi berperang dengan Pandemik Covid-19 ini, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada,” tegas Takiyuddin.

Beliau mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kenyataan medianya semalam mengenai peranan Kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berhubung dengan Perisytiharan Darurat dan hal-hal yang berkaitan.

Menurutnya sebahagian daripada keyataan media tersebut kelihatan dipetik di luar konteks yang sebenarnya.

Media semalam melaporkan kenyataan Takiyuddin bahawa Kerajaan memberi jaminan akan mengikut semua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara di dalam membuat sebarang keputusan berkaitan darurat.

Takiyuddin berkata persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong Baginda, tidak seharusnya timbul.

“Menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

“Ia selepas mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara,” katanya.-SM

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button