Nasional

HRD Corp jalin kerjasama dengan JobStreet

Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menjalinkan kerjasama dengan platform pekerjaan terkemuka Malaysia, JobStreet, bagi membolehkan pelaksanaan insentif latihan eksklusif yang bertujuan mendorong syarikat untuk menggaji bakat baharu.

Inisiatif baharu ini akan dilaksanakan menerusi HRD Corp Placement Centre (HPC), portal maya sehenti yang menyediakan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan untuk semua rakyat Malaysia.

Usaha ini dilaksanakan khusus untuk mencipta peluang pekerjaan baharu di samping membantu syarikat untuk menguruskan keseluruhan kos pengambilan pekerja sepanjang tempoh kritikal demi memastikan kesinambungan dan kelangsungan perniagaan mereka.

Di bawah inisiatif ini, majikan boleh menuntut sehingga RM3,600 (RM600 x 6 bulan) untuk elaun latihan di tempat kerja, yang akan membantu mengurangkan jumlah kos pengambilan pekerja baharu terutamanya dari kalangan graduan dan lepasan sekolah yang tidak bekerja. Insentif ini adalah eksklusif untuk pengambilan pekerja yang dibuat melalui platform JobStreet.

Di samping itu, majikan juga boleh mengemukakan tuntutan pekerja baharu tanpa had bilangan pekerja menerusi inisiatif ini.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan JobStreet untuk memperluaskan jangkauan dan sokongan HPC kepada lebih banyak majikan serta bakal pekerja.

“Di HRD Corp, kami komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia terlatih dan boleh digajikan.

“Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu kami mencapai matlamat tersebut, bahkan ia akan menggalakkan para majikan untuk membuka peluang pengambilan baharu, latihan serta pengekalan pekerja ketika mereka sendiri sedang berusaha untuk memulihkan perniagaan mereka untuk tahun akan datang,” katanya

Sementara itu, Pengarah Urusan JobStreet Malaysia, Vic Sithasanan berkata, pihaknya mengalu-alukan usahasama ini yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan baharu berasaskan latihan serta pengalaman di tempat kerja.

“Keseimbangan ini sangat relevan dalam dunia digital yang berubah dengan pesat sekarang.

“Pemerhati industri seperti The Asia Foundation menekankan bahawa pekerjaan masa hadapan di Asia akan kelihatan sangat berbeza berikutan perubahan yang dibawa oleh teknologi 4IR (Revolusi Industri ke-4).

“Perubahan tren secara global, keperluan kemahiran serta perubahan pasaran akan memerlukan program inovatif yang mampu menerapkan kemahiran, latihan dan pengalaman kerja sebagai persediaan di masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, pihaknya akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi pembangunan bakat tempatan dan memainkan peranan kami sebagai pelopor industri untuk menyokong usaha mempertingkatkan kemahiran serta melatih semula tenaga kerja warga Malaysia bagi pekerjaan bernilai tinggi dalam dunia 4IR.

Tambahnya, perkara ini seterusnya mampu membawa kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan untuk negara.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai insentif latihan eksklusif JobStreet, termasuk prosedur penyerahan tuntutan, sila kunjungi: https://www.jobstreet.com.my/hrd-corp-incentive/. -SM

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button