Pendidikan

Pemangku Raja Perlis gesa masyarakat tidak abaikan AI dan robotik

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Pemahaman dan penguasaan terhadap teknologi ‘Artificial Intelligence’ (AI) dan robotik adalah suatu keperluan yang tidak dapat diabaikan dalam dunia yang semakin canggih dan moden ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, Inovasi ini telah merevolusikan pelbagai bidang kehidupan, dari perubatan hingga kepada industri dan pengangkutan.

“Pasaran kerja tidak lagi tertumpu kepada bidang-bidang tugasan yang memerlukan dokumentasi menggunakan helaian kertas dan pena sahaja, namun turut mengambil kira kebolehan dan pengetahuan dalam penggunaan teknologi”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Pemangku Raja ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Kelab AI Robotic Education (AiRED) di Hotel Putra Regency Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.

Menurut Kamarudin, ‘Penubuhan AiRED adalah melalui kerjasama FCoEE, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada sekolah untuk bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk menghadapi dunia era AI’.

Kelab ini akan menjadi platform bagi para pelajar untuk meneroka dan mengembangkan minat mereka dalam bidang AI dan robotik. Melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang, pelajar akan didedahkan kepada kebaikan, konsep asas serta aplikasi praktikal teknologi ini dalam kehidupan seharian dan industri.

UniMAP melalui IDERIA Sdn Bhd telah melatih 32 orang guru daripada 15 buah sekolah menengah dan 7 buah sekolah rendah seluruh negeri Perlis. Guru-guru ini akan menjadi tenaga pengajar yang akan melaksanakan modul pembelajaran bersama-sama 160 orang murid Tingkatan 2 daripada 8 buah sekolah menengah terpilih di Perlis.

Turut terlibat ialah 24 orang pensyarah UniMAP daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik yang menyokong dalam pembangunan modul dan menjadi pembimbing bersama pelaksanaan aktiviti di sekolah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Penaung DiRaja FCoEE turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan watikah kepada dua orang wakil tenaga pengajar AiRED.

Penerima tersebut adalah Ketua Pusat Kecemerlangan Kepintaran Robotik dan Sistem Berautonomi, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, UniMAP, Prof. Madya Dr. Shazmin Aniza Abdul Shukor dan Guru Cemerlang Kimia, Guru Inovatif, Dan Guru Pencipta Kandungan Digital 2022 dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Noreriffin Norazaman.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut menzahirkan ucapan tahniah kepada FCoEE dan rakan strategik serta semua pihak yang terlibat kerana mengambil pendekatan mengorak satu langkah ke hadapan dalam ikhtiar untuk meningkatkan kefahaman dalam kalangan rakyat Perlis khususnya para pelajar tentang AI dan Robotik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berharap agar kelab AiRED yang ditubuhkan ini akan menjadi platform yang efektif dalam melahirkan generasi muda khususnya di negeri Perlis yang celik teknologi, kreatif, dan inovatif.

(Visited 43 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button