Rencana

Zahid cenderung menjadi pemimpin kanan melampau – Tawfik

Di bawah merupakan intipati wawancara dengan Tawfik Tun Dr. Ismail pada 15 Oktober lalu di sebuah lokasi di Taman Tun Dr Ismail, yang dinamakan bersempena nama bapanya itu, disiarkan di Aliran.com.

Mengapa saya keluar Umno

Johan: Beritahu kami secara ringkas tentang diri anda dan mengapa anda memulakan Gerak Independent.

Tawfik:  Saya berlatarbelakangkan bidang sejarah dan politik, tetapi cinta pertama saya adalah sejarah. Saya melihat sejarah dari sudut pandangan sebagai ‘bayi Merdeka’ (dilahirkan pada 1951) dan telah melihat peristiwa selama beberapa dekad serta mengalami keadaan di bawah perdana menteri dari Tunku (Abdul Rahman), Tun Razak (Hussein), (Dr) Mahathir (Mohamad) dan lain-lain sehingga kini.

Ia sebuah perjalanan yang agak merbahaya kerana saya menyaksikan bagaimana Malaysia semakin tenggelam dalam isu perkauman dan perihal keagamaan yang terlalu meluas – yang saya maksudkan di sini adalah bahawa kedua-dua faktor ini mewarnai pemikiran kita dalam setiap perkara yang kita lakukan di sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya di dalam negara yang kita cintai ini.

Bercakap sebagai orang Melayu, saya merasakan bahawa kita tidak boleh menganggap diri kita sebagai ‘Melayu dan mereka yang lain-lain’.

Dahulu kita berbangga dengan kepelbagaian kita.

Golongan pelampau Islam telah membuatkan kita berfikir dalam kerangka ‘Muslim dan lain-lain’ dan bukannya sebagai rakyat Malaysia. Ini adalah proses pemikiran yang sangat memundurkan yang telah diterapkan dalam minda Melayu dari sumber asing, seperti Revolusi Iran atau pengaruh dari Timur Tengah, yang sama sekali asing dengan konsep Islam Nusantara kita sendiri.

Mengapa Gerak Independent?

Saya merupakan seorang ahli parlimen selama satu penggal pada 1986-1990 dan sangat kecewa dengan cara Mahathir ‘membunuh’ Umno pada 1987. Ini berlaku apabila beliau mencipta ‘Umno Baru’, yang saya lebih suka untuk tidak memanggilnya sebagai Umno tetapi sebuah parti Frankenstein milik Mahathir.

Peristiwa lain yang membuatkan saya menjauhkan diri daripada parti itu ialah ketika Najib (Razak) sedang mencari timbalan presidennya. Sewaktu itu, saya berada di bahagian Pontian, dan saya telah membantah Muhyiddin (Yassin) menjadi orang nombor dua, kerana saya mahu mempunyai seseorang yang lebih kuat untuk menyokong Najib bagi menentang Mahathir.

Saya mencadangkan Shahrir Samad sebagai timbalan; namun idea saya tidak diberi sokongan. Saya kemudian keluar Umno sekitar 2009.

Selepas berdiam diri untuk sekian lama, saya mengalihkan perhatian saya kepada isu integrasi nasional dan saya melahirkan Malaysia First. Ia sebuah pergerakan yang digerakkan menggunakan WhatsApp, di mana saya menjemput rakan dan penyokong untuk menyertai saya dalam usaha ini. Saya sangat terkejut dengan pengikut yang ramai hadir melibatkan cendekiawan awam serta ahli politik yang tidak berpuas hati.

Selepas Malaysian First dilahirkan, saya pergi meninjau pilihan raya negeri Sabah pada 2020 dan terkejut dengan tahap rasa permusuhan rakyat Sabah terhadap semenanjung. Luka kepada hal ini bertitik-tolak daripada syarat MA63 [Perjanjian Malaysia 1963] serta ahli politik semenanjung yang tidak mengiktiraf hak Sabah dan Sarawak.

Selepas itu, beberapa rakan kemudian berkumpul untuk melihat apa yang perlu dilakukan, kerana kami merasakan parti politik yang ada terlalu kaku. Idea-idea baru tidak dapat menembusi tembok parti politik kita.

Kami fikir bahawa kami harus melihat kepada idea calon bebas, dan maka itu kami tubuhkan Gerak Independent. Kami mahu orang ramai sedar bahawa terdapat alternatif kepada kepimpinan melangkaui parti politik.

Sebelum saya membuat keputusan ini, saya agak neutral tentang apa yang akan berlaku pada pilihan raya umum nanti.

Namun kemudiannya, apabila saya melihat peristiwa semasa perbicaraan Zahid dan bagaimana kes pertamanya ditolak oleh hakim, saya menjadi sangat bimbang. Ucapan beliau di mana beliau mengenal pasti siapa timbalannya dan anggota kabinet BN yang lain sebagai sasaran penyiasatan seterusnya, jika mereka kalah dalam pilihan raya akan datang, membuatkan saya berfikir bahawa lelaki ini perlu dihentikan.

Beliau sudah menunjukkan belangnya – bahawa dia mempunyai kecenderungan sayap kanan yang melampau, dan jika BN menang, mereka akan mengubah undang-undang dan kita semua akan dilemparkan kembali ke zaman kegelapan!

Suatu hari, saya berfikir bagaimana saya boleh menghentikan hal ini. Dan keesokan paginya, saya membuat kenyataan kepada kumpulan Malaysia First bahawa saya akan menentang Zahid Hamidi di mana-mana saja kawasan pilihan raya yang beliau pilih untuk bertanding, bagi menghalangnya daripada menjadi ketua yang sangat diidamkannya dan ia akan menjadi sebuah pertarungan Rakyat lawan Rasuah.

Saya ingin melangkah lebih jauh dan mengatakan bahawa kita harus memperjuangkan Maruah Malaysia kerana ini adalah isu Malaysia keseluruhannya, bukan hanya isu Melayu.

Saya boleh faham bagaimana orang bukan Melayu berasa agak tidak berdaya melihat apa yang berlaku di negara ini; jadi kini terpulanglah kepada seorang Melayu bagi menghalang seorang Melayu yang sebegini.

Zahid juga seorang yang pandai menunggang isu Islam, walaupun gaya hidupnya sangat sekular dan mewah. Beliau bukanlah seorang yang mencari ganjaran syurga. Terdapat jurang dikotomi yang melampau dalam diri lelaki ini dan hanya pakar psikiatri yang dapat mentafsir keperibadiannya.

Apa pun, meletakkan orang sebegini di dalam kekuasaan sangat berbahaya bagi negara.

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button