Politik

Azmin Ali bukan orang asing di DUN Hulu Kelang

MENJADI anak jati Klang Gate, Datuk Seri Azmin Ali seharusnya bersikap ayam jantan dan jantan bagi penduduk di Hulu Kelang, Zoo Negara, Kemensah, Taman Melawati termasuk Bukit Antarabanga.

Membesar di Jalan Kolam Air, Klang Gate, bagi anak tempatan di situ termasuk wartawan SUARA MERDEKA sendiri, panggilan untuk Datuk Seri Azmin ialah Abang Azmin!

Sebagai politikus, Abang Azmin semestinya melalui pasang surut gelanggang politik dan apa ada hal kalau orang mahu mengutuk percaturan-percatuan yang pernah dibuat oleh Abang Azmin.

Ada percaturan yang betul dan kena. Ada juga percaturan yang dibuat memberi natijah yang mana karier politik Abang Azmin, sedikit sebanyak, turut terjejas.

Itu adalah hakikat dan telan sahaja walaupun pahit. Akan tetapi sebagai anak jati Klang Gate, sebagai anak jantan, Abang Azmin sedar sama ada beliau ada jawatan, pangkat atau pun tidak mempunyai apa-apa, khidmat masyarakat harus diteruskan.

Bekerja dan terus bekerja kuat untuk masyarakat setempat dan rakyat ada di dalam darah Abang Azmin.

Kalau ditoreh tangannya, darah merah yang mengalir bersama dengan ‘perkataan aku pemimpin rakyat’.

Sedangkan Nabi ampunkan umat, tidak salah sama sekali kalau penduduk Klang Gate, Taman Melawati, Hulu Kelang, Kemensah dan Bukit Antarabangsa yang bakal mencelup jari dengan ink di DUN Hulu Kelang nanti, memadamkan sahaja memori Langkah Sheraton yang pernah Abang Azmin kita turut terlibat sama ketika itu.

Pernah menjadi Menteri Besar Selangor, secara mata kasar, Abang Azmin nampak gayanya dapat meraih semula kepercayaan para pengundi di DUN Hulu Kelang (N18) berdasarkan penilaian dan hasil kerja beliau selama kalah di Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Kerja keras Abang Azmin juga nampak berjaya memenangi hati penduduk terutamanya pengundi-pengundi dan kalau ikutkan rekod, Abang Azmin mewakili Hulu Kelang pada 1999 sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Wakil Rakyat Bukit Antarabangsa.

Dan tentulah DUN Hulu Kelang terletak di bawah Parlimen Gombak. Pada PRN kali ini, Pakatan Harapan (PH) meletakkan calonnya, Juwairiya Zulkifli untuk menentang Abang Azmin.

Abang Azmin ada kelebihannya kerana beliau adalah anak jati di Klang Gate, orang Hulu Kelang, Taman Melawati dan Kemensah pun kenal beliau termasuklah mereka iaitu pengundi-pengundi yang tinggal di Bukit Antarabangsa, juga mengenali beliau.

Tetapi yang paling utama, tanpa ada pangkat dan jawatan, Abang Azmin terus menyantuni masyarakat terutama golongan miskin dan kurang kemampuan.

Mendengar keluh kesah masyarakat dan bertindak pantas untuk menyelesaikan pelbagai masalah penduduk.

Tidak perlulah disebut sumbangan Abang Azmin kepada Masjid Klang Gate, Masjid di Bukit Antarabangsa, di Masjid Taman Melawati dan surau-surau kerana itu adalah amal jariah beliau.

Lagipun, arwah ayah Abang Azmin, Pakcik Ali mengajar al-Quran anak-anak Klang Gate dan siapa yang tidak mengenali arwah Pakcik Ali, isterinya arwah Makcik Tom?

Masuklah gelanggan PRN Negeri Selangor pada 12 Ogos ini Abang Azmin dan bertandinglah sebagai calon di DUN Hulu Kelang (N18).

Buat Abang Azmin, untung sabut timbul, untung batu tenggelam tetapi kali ini, apabila menggenggam bara, biarlah sampai jadi abu.

Kalau ada rezeki, menanglah Abang Azmin ya, Datuk Seri Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – SM

BACA Awal sangat Azmin Ali kehabisan ‘peluru’ politik

BACA PRN: Amirudin bersedia berdepan Azmin Ali

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button