Politik

PN takut uji keabsahan Anwar di Parlimen-Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Puad Zarkashi mendakwa, cadangan supaya keabsahan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim diuji di Parlimen dijangka tidak akan disambut oleh blok pembangkang.

Puad menjelaskan, ini kerana dibimbangi tindakan berkenaan bakal mendedahkan situasi sebenar bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai cukup angka walaupun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor mendakwa gabungan itu memperoleh cukup akuan bersumpah (SD) untuk menumbangkan Kerajaan sekarang.

“Matlamat mereka hanya persepsi, gembar-gembur dan provokasi untuk melemahkan kerajaan,” kata Puad di akaun Facebook miliknya.

Di Facebook beliau, Puad mengulas kenyataan Peguam Bastian Pius Vendargon bahawa cara terbaik menguji kepercayaan Ahli Parlimen adalah di Dewan Rakyat.

Memetik kenyataanya kepada portal berita FMT, Vendargon berkata, ia cara terbaik sekiranya negara sudah mempunyai perdana menteri.

Beliau mengulas dakwaan pemimpin mursydur Am PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa partinya sedia menunggu perubahan kerajaan menerusi “proses demokrasi dan raja berperlembagaan”.

Mengulas “Langkah Dubai” dalam kolum Harakah Daily, Presiden PAS itu berkata, semua parti politik mahu menjadi kerajaan, bukannya pembangkang sepanjang masa.

Katanya, dalam sistem demokrasi, perubahan dapat dilakukan melalui pilihan raya atau wakil rakyat yang dipilih mengadakan undi tidak percaya di Parlimen atau melalui SD.

Pada Ahad lalu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS mendakwa PN yang mana PAS menjadi komponennya telah memperoleh SD mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Puad berkata, hakikat sebenar adalah sokongan PN semakin merosot apabila dikhabarkan tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen Bersatu akan mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Anwar.

“Sebab itu PN tidak berani minta undi belah bagi apabila Belanjawan 2024 diluluskan,” katanya. – SM

BACA Langkah Dubai: Anwar nasihat Tun M jaga kesihatan

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button