Politik

UMNO perlu semangat, wajah baharu

MAHU tidak mahu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 perlu memberi fokus kepada hala tuju parti dalam konteks landskap politik baharu.

Ini termasuklah isu berkaitan kerjasama Muafakat Nasional dan soal kepemimpiman UMNO.

UMNO bukan sahaja perlu semangat baharu tetapi juga berwajah baharu. Langkah ini perlu bagi meningkatkan semula keyakinan rakyat.

Sesuai dengan tema, ‘UMNO Sebuah Perjuangan’, sudah tiba masanya perwakilan perlu lebih berani mengatakan yang benar. Elakkan politik ampu-mengampu demi memenuhkan tembolok sendiri.

Pemimpin pula harus berjiwa besar dalam menerima apa sahaja kritikan akar umbi. Apa yang paling penting adalah menyedari kedudukan  diri sendiri sama ada masih relevan atau tidak.

Jangan terlalu termakan dengan kata-kata si pengampu atau dibayangi kisah kejayaan silam.

Situasi semasa harus diambil kira. Sekiranya perlu berundur, berundur lah. Tidak perlu menunggu desakan akar umbi secara terbuka.

Bersikaplah seperti pahlawan sejati. Jangan dibiarkan sehingga keadaan bertambah rumit.

Sedarlah setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Mereka yang tidak sanggup berkorban, tidak layak bercakap soal bangsa.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, perhimpunan kali ini dijangka lebih besar dan meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada siri-siri mesyuarat agung dan juga perwakilan serta konvensyen, sambutan terhadap UMNO oleh ahli dan bukan ahli adalah cukup luar biasa.

“Dan (ini) disokong pula faktor empat pilihan raya kecil yang berlangsung sepanjang 2019, maka sewajarnyalah PAU pada kali ini sebagai penutup kepada rentetan peristiwa-peristiwa bersejarah untuk kita menyambutnya dalam ‘mood’ dan suasana yang lebih meriah.

“Justeru kita jangkakan jumlah yang terlibat dalam PAU pada kali ini 6,000 perwakilan, hampir 3,000 perwakilan sayap-sayap, hampir 3,000 perwakilan PAU itu sendiri dan dijangkakan para pemerhati termasuk jemputan lebih kurang 500 hingga 600 lagi dan dijangkakan lebih 12,000 orang akan terlibat sepanjang empat hari persidangan yang akan berlangsung dari 4 hingga 7 Disember ini,” katanya.

Beliau turut mengesahkan kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ketua  delegasi parti berkenaan.

“Selain itu sudah tentulah Presiden dan ahli jawatankuasa rakan parti komponen seperti MCA dan MIC serta juga parti Friends of BN, PCM, Kimma, Makkal Sakti dan beberapa buah parti politik lain yang telahpun kita undang,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, PAU 2019 bukanlah semata-mata urusan UMNO sebaliknya mahu menjadikan parti itu lebih terbuka kepada perjuangan rakyat.

Rakyat kini memerhati. Jangan nanti rakyat terus berkecil hati dan membiarkan segalanya sendiri.

Kerana akhirnya Melayu juga yang menggigit jari.

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button