Kemalangan

Kelindan maut lori rempuh belakang treler

Seorang kelindan maut manakala pemandunya mengalami kecederaan dalam kemalangan yang membabitkan lori dan treler di Lebuhraya Utara-Selatan Kilometer (KM) 195.3 Arah Selatan antara laluan Ayer Keroh ke Jasin, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhamad Yusry Azman, 23, mengalami kecederaan di seluruh anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu lori jenis Isuzu berwarna putih dengan muatan barangan plastik dikenali sebagai Muhammad Shahrul Husaini Azmi, 23, pula cedera dan mendapat rawatan di Zon Hijau, Hospital Jasin manakala pemandu treler Aufa
Naqiuddin Sapuan, 33, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, dalam kejadian pukul 6.17 pagi itu kedua-dua buah kenderaan sedang dalam perjalanan menghala ke Johor.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang membawa muatan gula berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan enjin.

“Tiba-tiba datang sebuah lori dengan muatan plastik merempuh belakang sebelah kanan treler berkenaan mengakibatkan kelindannya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandunya mengalami kecederaan ringan,” ujarnya di sini hari ini.

Ashari berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah serta Pol 61 telah diserahkan untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu lori terbabit yang cedera pula telah dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan dan kini ditempatkan di zon hijau.

Sehubungan itu beliau meminta pemandu treler hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kesemua kenderaan terbabit telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan lanjut.

Ashari berkata, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan tiada saksi bebas dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kemalangan tersebut mengakibatkan kesesakan luar biasa menghala ke selatan kerana dua lorong ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.

Jelasnya, empat anggota trafik peronda lebuhraya dan dua anggota Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) telah ditempatkan di lokasi kejadian bagi kawalan lalu lintas. – SM

(Visited 27 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button