EkonomiPolitik

Ribuan lagi akan hilang pekerjaan, apa sudah jadi dengan negara ini

SUARA MERDEKA: Saya sempat bersarapan dengan rakan saya dari Media Prima pagi tadi. Antara tajuk perbualan kami tentulah soal pemberhentian pekerja di syarikat gergasi media itu.

Selaku wartawan Utusan Malaysia, kami telah melaluinya. Sudah kering air mata kami menangisi nasib yang menimpa sejak berubah kerajaan. Tekanan demi tekanan memburukkan prestasi kewangan syarikat yang telah sedia agak kritikal sebelum ini.

Bila langkah pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika menguasai Putrajaya menghentikan langganan di semua pejabat kerajaan dan tidak membenarkan Utusan Malaysia diedarkan ke sekolah-sekolah, ia memberi isyarat negatif kepada pelanggan Utusan.

Banyak pihak yang mengelak daripada berurusan dengan Utusan bagi mengelak daripada dicap menyokong akhbar yang dikaitkan dengan UMNO itu, sehingga mereka boleh kehilangan bisnes atau jawatan.

Kelembapan ekonomi negara dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan masyarakat kehilangan nafsu untuk membeli akhbar. Situasi semasa yang menyaksikan disaji dalam pelbagai bentuk dan percuma, menyebabkan bisnis media menjadi tidak lagi relevan.

Saya mendapat khabar sedih daripada sahabat saya itu kerana sebulan dua lagi ribuan kakitangan Media Prima akan turut menerima nasib yang sama dengan kakitangan Utusan. Bezanya mereka akan diberhentikan dengan lebih baik pampasan berbanding kakitangan Utusan yang tidak dibayar pampasan dan dengan gaji dua bulan tertunggak.

Kira-kira 1,500 kakitangan kini menganggur secara rasmi. Selepas setahun berjuang dengan bekerja tanpa dibayar gaji dengan sempurna dan pelbagai faedah telah dinafikan oleh syarikat. Akhirnya semua kakitangan pasrah apabila kesemua aset terpaksa dilelong dan pada 6 November ini mereka perlu mengundi syarikat untuk melelong aset yang dibina dengan air mata dan darah itu.

Kakitangan Utusan dan kakitangan Media Prima hanya sebahagian kecil daripada mangsa kitaran ekonomi yang ganas menyebabkan lebih ramai lagi kehilangan punca pencarian dan pastinya menyumbang kepada masalah sosial serta kelembapan ekonomi.

Rakan saya berketurunan Cina merungut kerana bisnesnya kini merosot, begitu juga rakan di Facebook berketurunan India yang hanya saya kenali di alam maya turut melahirkan kekecewaan dengan kerajaan hari ini yang gagal menangani isu ekonomi negara yang semakin lembab sehingga perniagaannya hampir statik.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Rakyat negara ini masih berharap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai formula untuk mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi pada masa ini, sebagaimana beliau membawa keluar negara daripada kemelut ekonomi pada tahun 1997. Menteri-menteri lain memang tidak cukup jam terbang untuk menangani krisis ekonomi hari ini. Tindakan dan kenyataan yang dibuat hanya memburukkan keadaan sahaja.

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button