Politik

Muhyiddin berbesar hati jalankan tugas Pengerusi MPN tanpa imbuhan

BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berbesar hati menerima pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan tersebut.

Beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri atas pelantikan itu.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

“Kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Menurut Muhyiddin, beliau dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Kerajaan membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Antaranya menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan.

Selain itu Majlis Pemulihan Negara juga akan mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

Tambah Muhyiddin, beliau akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan.-SM

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button