NasionalNegeri

Pembudayaan digital dalam pendidikan peluang tingkat pelajar cemerlang

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan ekosistem pendigitalan dan pembudayaan digital dalam pendidikan dan pembelajaran di sekolah merupakan peluang yang besar untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan kecemerlangan para pelajar.

Baginda bertitah, pelajar perlu memanfaatkan setiap kemudahan yang disediakan terutamanya penggunaan aplikasi dan perisian seperti ‘Microsoft Powerpoint’, ‘flash’, video, visual dan sebagainya bagi menjadikan proses pembelajaran seharian itu lebih mudah, padat dan berkesan kerana gambaran dan persembahan yang menarik serta mudah untuk difahami’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bersama pelajar dengan karya masing-masing sempena Program Titian Kasih Mega 2024 Peringkat SMK Syed Ahmad, Arau.

“Setiap pelajar juga perlu melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah serta bergerak seiring dengan matlamat yang ingin dicapai kerana anda semua memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang negara dan menjadi harapan dalam membangun masa depan yang gemilang dalam demokrasi negara”, titah Baginda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad yang melibatkan seramai 536 pelajar.

Program tersebut bertemakan ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ itu dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar kenangan dengan guru dan pelajar Program Titian Kasih Mega 2024 Peringkat SMK Syed Ahmad, Arau.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengetua sekolah, Ismail Mad Nor.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SMK Syed Ahmad telah melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan sama ada dalam akademik dan kokurikulum antaranya telah memperoleh pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dengan sejarah GPS terbaik sekolah iaitu 5.11 dan membuat lonjakan dalam pencapaian layak sijil SPM 2022 seterusnya meletakkan sekolah ini antara 3 buah Sekolah Bukan Kawalan terbaik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah Program Titian Kasih Mega 2024 Peringkat SMK Syed Ahmad, Arau.

Dalam bidang ko-kurikulum pula seorang guru iaitu Cikgu Sanusi Zainal Abidin telah dipilih menjadi jurulatih atlet Sukan Pekak Malaysia dan anak didiknya yang berlatih di sekolah ini juga berjaya mendapat 2 pingat emas dan 1 perak dalam kejohanan olahraga orang pekak Asia Pasifik, di Iran.

Seorang pelajar, Mirza Hazari pula telah berjaya menyumbang emas dalam acara kayak di SUKMA MSN 2022.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bersalaman dengan pelajar Program Titian Kasih Mega 2024 Peringkat SMK Syed Ahmad, Arau.

Bagi tahun 2023, satu lagi kejayaan murid sekolah ini iaitu Ku Muhammad Irfan Firdaus Ku Aziz terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Canoe Polo di Singapura manakala tiga orang murid lagi iaitu Muhammad Safuan Mohd Saiful, Adam Effendy Abdullah dan Muhammad Hafizzudin Huzaimi telah melakar kejayaan dalam pertandingan Petanque Angkasa Peringkat kebangsaan 2023.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian bilik seminar Al-Bukhari sekolah ini yang akan berfungsi sebagai ruangan serbaguna untuk menjalankan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran. – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button