Rencana

Setahun kematian Utusan, setahun kelahiran Suara Merdeka

HARI ini 9 Oktober 2020 genap setahun kematian Utusan Melayu (M) Berhad. Mati ketika umurnya genap 80 tahun. Mati dalam keadaan papa kedana dengan hutang penuh keliling pinggang.

Hari ini setahun yang lalu, meskipun tahu syarikat akan bungkus untuk selama-lamanya, aku dan rakan-rakan lain masih datang ke pejabat yang terletak di Jalan Utusan, Jalan Chan Sow Lin.

Seawal pukul 6 pagi, kami telah berada di bilik berita. Memang itu rutin kami di Utusan Online setiap pagi dari hari Isnin hingga Khamis berada awal di pejabat. Ini kerana tepat pukul 8 pagi kami akan memulakan siaran ‘Mornink Blues’.

Ya. Walaupun tahu Utusan Melayu (M) Berhad akan dihentikan operasi pada hari itu, kami tetap datang melunaskan tanggungjawab dan amanah sebagai pekerja.

Aku, Apak, Fikri, Fizi dan Xenon bekerja seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang akan berlaku.

Tepat pukul 8 pagi ketika ke udara melalui Facebook Utusan Online, suasana menjadi mendung disusuli hujan. Apak buat pertama kalinya menitiskan air mata memberitahu penonton yang setia bahawa itu adalah kali terakhir kami akan mengacarakan Mornink Blues.

Sedih menang sedih. Sedih kehilangan pekerjaan satu perkara. Tapi yang lebih sedih ialah apabila mengenang syarikat yang ditubuhkan pada 29 Mei 1939, yang asalnya memang untuk memperjuangan kepentingan orang Melayu dan Islam akhirnya ditutup.

Dalam hal ini tidaklah aku ingin menyalahkan sesiapa. Namun apa yang pasti kami semua berdosa kepada pengasas dan leluhur syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.

Berdosa kerana tidak mampu untuk mempertahankan syarikat yang ditubuhkan hasil derma daripada masyarakat Melayu-Islam pada ketika itu, yang begitu bangga mempunyai ‘lidah’ untuk mereka bersuara.

Utusan diasaskan oleh ‘rakyat untuk rakyat’. Modal permulaan penubuhan syarikat adalah hasil wang sumbangan orang ramai melalui penjualan saham di kampung-kampung.

Mukadimahnya berpaut pada Ikrar 1939 yang berbunyi, “Dengan sendi yang tiga itulah (alif ba ta – yang mewakili Agama, Bangsa, Tanah Air) akhbar Utusan Melayu itu berdiri dan atas itulah jua akhbar Utusan Melayu hidupnya dan menyabung nyawa”.

Ya, kami generasi akhir pekerja Utusan Melayu (M) Berhad berhutang dosa dengan pendahulu-pendahulu kami Rahim Kajai, Said Zahari, Tan Sri Samad Ismail, bekas Presiden Singapura, Yusof Ishak, dan Ishak Mohamad (Pak Sako).

Tak perlu aku menulis apa jasa syarikat itu melalui akhbarnya Utusan Melayu yang kemudian bertukar nama menjadi Utusan Malaysia. Kerana semua tahu apa yang telah diperjuangkan dan kejayaan hasil perjuangannya sebelum dan selepas merdeka.

Kami tidak dapat menghidupkan semula Utusan Melayu (M) Berhad namun sesetengah dari kami masih berjuang dengan nama akhbar yang sama Utusan Malaysia tetapi dimiliki oleh syarikat lain. – Itu satu lagi cerita yang lain.

Hari itu selepas tamat program Mornink Blues, kami semua mengemaskan barang masing-masing, masukkan ke dalam kotak dan tepat 1 tengah hari melangkah keluar untuk selama-lamanya dari bangunan ibu pejabat Utusan.

Ada kematian ada juga kehidupan. Suara Merdeka lahir sehari selepas Utusan meninggal dunia.

Esok, 10-10-2020 kami akan meraikan ulangtahun pertama kelahiran Suara Merdeka. Hasil usaha bekas petugas Utusan Online.

Menghidupkan Suara Merdeka juga mempunyai suka-duka, pahit-manisnya yang tersendiri.

Tanpa gaji tetap, tanpa modal dan hanya berbekalkan semangat dan minat kami berjaya mengharungi hidup selama lapan bulan. Jika ada masa aku akan ceritakannya nanti bagaimana idea menghidupkan Suara Merdeka itu datang dan bagaimana kami membahagi-bahagikan rezeki sedikit yang diterima dalam tempoh itu.

Kini selepas hampir setahun, nasib kami semakin baik berbanding setengah-setengan rakan Utusan Melayu (M) Berhad yang lain. Ada yang masih tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Syukurlah dengan kredibiliti tanpa dipengaruhi mana-mana parti politik dan individu, masih ada pihak termasuk pembaca yang sudi untuk memberi dana, memberi tajaan dan memberi sokongan untuk Suara Merdeka meneruskan operasi pada hari-hari dan tahun-tahun yang mendatang. Teruslah menyokong kami.

Pun begitu, perasaan bersalah dan berdosa kepada leluhur Utusan Melayu (M) Berhad dan orang-orang Melayu yang memberi sumbangan untuk menghidupkan syarikat itu, masih tetap terbeban di dalam jiwa dan sanubari.-SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button