fbpx
Politik

ADUN Rahang tak jadi keluar DAP

Ahli Dewan Undangan Negeri Rahang (ADUN) Mary Josephine yang mengisytiharkan keluar daripada DAP 10 Julai lalu kini kembali ke pangkuan parti.

Mary berkata, keputusannya untuk kembali bersama DAP dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook minggu lalu.

Selepas 46 tahun bersama parti itu, Mary dalam sidang akhbar hari ini berkata, berasa berat hati untuk meninggalkan parti yang telah menjadi wadah perjuangannya.

“Terima kasih kepada DAP Malaysia kerana mempertimbangkan semula peletakan jawatan saya sebelum ini dan menerima semula saya untuk kembali ke dalam parti,” kata Mary.

Selain Loke turut hadir dalam sidang akhbar tersebut adalah Penasihat DAP Lim Kit Siang.


Pada sidang media semasa keluar DAP, Mary dipetik sebagai berkata, dia telah berulang kali diketepikan dari proses membuat keputusan.

“Sangat menyakitkan, saya telah bersama DAP selama 46 tahun. Saya masih menyokong kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya meletakkan jawatan sebagai setiausaha organisasi Wanita DAP, naib ketua wanita PH nasional, ketua wanita DAP negeri dan timbalan ketua wanita PH negeri. Keputusan saya adalah muktamad,” kata beliau pada waktu itu.

Veteran parti itu dilaporkan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan negeri untuk tidak mengesahkan pemilihan ketua majlisnya untuk majlis pengurusan masyarakat desa yang diumumkan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Mary turut mengulas kecaman yang diterimanya selepas meninggalkan parti.

“Kepada mereka (yang mengecam saya), saya ingin mengucapkan terima kasih kerana kenyataan dan komen anda itu telah memperkuatkan lagi keyakinan dan kemahuan saya untuk menabur khidmat bakti kepada penduduk DUN Rahang,” katanya.

Berikutan perkembangan ini, Mary kini kembali menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan dan Setiausaha Organisasi Wanita DAP Kebangsaan,.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button