Politik

Speaker Pahang serah notis kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada SPR

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin hari ini menyerahkan notis perisytiharan kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Notis diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Zamree Hamli di Wisma Sri Pahang pada jam 11.20 pagi, hari ini.

Zamree ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan SPR mungkin akan mengadakan mesyuarat mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai pada minggu ini juga.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, penyerahan notis itu ialah prosedur ditetapkan sekiranya terdapat mana-mana kerusi DUN kosong antaranya disebabkan berlaku kematian.

“Hari ini kita telah serahkan notis kepada SPR untuk memaklumkan kekosongan kerusi DUN Pelangai selepas Johari meninggal dunia pada 17 Ogos,” katanya.

Allahyarham Johari, 53, antara 10 yang maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, Khamis lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Allahyarham Johari yang pertama kali bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Untuk rekod, sehingga Mei lepas, DUN Pelangai mempunyai 16,475 pengundi berdaftar. – BERNAMA – SM

BACA Datuk Seri Johari Harun antara yang maut pesawat terhempas di Elmina?

 

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button