Politik

Belanjawan 2021: Syarat BN adalah hakikat rakyat, bukan hikayat

SULTAN Melaka pasti dapat berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang jika syarat yang dikemukakan adalah seperti yang diminta oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Begitulah perumpamaan syarat yang dibawa Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Parlimen, pada Selasa lalu.

Ini kerana, syarat yang dikemukakan Ahli Parlimen Pekan mengenai pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP dan moratorium automatik itu semata-mata hanya untuk rakyat.

Ia langsung tidak berkepentingan peribadi, sebaliknya membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan tekanan ekonomi akibat krisis pandemik Koronavirus (Covid-19).

Malah syarat tersebut dikatakan tidak merugikan kerajaan sebaliknya memberi bantuan dan meringankan beban rakyat.

“Memperjuangkan nasib rakyat yang terkesan teruk kerana COVID-19 bukan cerita dongeng.

“Moratorium automatik dan pengeluaran dari akaun 1 KWSP bukan cerita hikayat. Ia adalah suara rakyat untuk kesenangan rakyat.

“Tidak pelik pun bila Ahli Parlimen Pas dari Pasir Mas menyindir sokongan bersyarat BN terhadap Bajet 2021 yang dibahaskan secara berfakta oleh Najib Razak.

“Tiba tiba ia disanggah dengan fakta dongeng dan hikayat oleh Ahli Parlimen Pas itu. Teruk dia dibelasah oleh netizen.

“Kita tidak pelik kerana dia ahli parti politik. Mereka juga mahu kuasa. Mereka ada jawatan dalam PN.

“Sebab itu kita faham bila Ahli Parlimen Pasir Mas sokong Bajet tanpa syarat.”

Sindir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menerusi kenyataan dalam Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian menyindir hujah perbahasan Ahli Parlimen Pasri Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat semalam.

Dalam hujahnya, beliau tidak setuju pemberian moratorium secara terbuka kerana akan menyebabkan bank mengalami kerugian sehingga RM498 juta bagi lapan buah bank.

Begitu juga dengan pengeluaran daripada Akaun 1 KWSP kerana khuatir simpanan pencarum pada masa hadapan akan terjejas sekiranya dibuat dikeluarkan pada hari ini.

Berdasarkan kepada perbahasannya itu, beliau dilihat menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaa lepas.

Sebelum ini Suara Merdeka melaporkan pemimpin-pemimpin parti seperti UMNO-BN, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat sepakat menyokong pengeluaran KWSP dan pemberian moratorium automatik.

Justeru, Mohd. Puad menempelak Ahmad Fadhli yang mengumpamakan syarat BN sebagai satu hikayat, sebaliknya ia adalah hakikat yang diperlukan rakyat.

“Syarat Puteri Gunung Ledang adalah sindiran jangan jaga kepentingan diri tetapi jaga rakyat susah.

Sokongan bersyarat BN ialah untuk rakyat. Bukan kerana kesenangan dan kuasa.

“Tujuh dulang hati kuman dan tujuh mangkuk darah anak sendiri bukan syarat BN.

“Sebaliknya BN mahu ‘hati’ rakyat senang dan ‘darah’ keringat rakyat dihargai. Ramai hilang kerja dan bankrup. Rakyat susah.

“Apakah Ahmad Fadhil mahu tukar Pasir Mas kepada Jambatan Emas seperti dalam cerita dongeng itu demi menjaga kepentingan kelompok sendiri bukan rakyat?” soalnya. – SM

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button