NasionalNegeri

Raja Muda lancar Ujana Bahasa Melayu: UniMAP-FAHAD

Tuanku Syed Faizuddin Putra sambil disaksi Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen dan Zaliman berkenan melancarkan Ujana Bahasa Melayu: UniMAP-FAHAD di Fahad Wittayathan School, Phang Nga, Thailand.

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan menyempurnakan pelancaran Ujana Bahasa Melayu: UniMAP-FAHAD di Fahad Wittayathan School, Phang Nga, Thailand.

Pelancaran ini diadakan sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai Baginda Bersama Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil MAIPs ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand dari 26 hingga 28 April.

Berkenan berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra disembah maklum mengenai Ujana Bahasa Melayu: UniMAP-FAHAD di Fahad Wittayathan School, Phang Nga, Thailand sambil diperhati Zaliman.

Baginda berdua juga berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan buku terbitan Penerbit UniMAP dan Modul Literasi Bahasa Melayu UniMAP-Yayasan Hasanah kepada pihak Fahad Wittayathan School dan seterusnya melawat ujana tersebut.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli menyerahkan sumbangan buku kepada Pengarah Fahad Wittayathan School, Ali Prasankarn.

Buku-buku yang disumbangkan ini termasuk juga dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk ditempatkan di Ujana Bahasa Melayu di sekolah tersebut yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti pembelajaran bahasa Melayu di wilayah Phang Nga.

Program pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah tersebut telah bermula sejak tahun 2015 hingga 2019 dan terhenti seketika pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19.

Pada kali ini, program tersebut diteruskan semula dengan pelibatan guru bahasa dari Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP seramai lima orang yang diketuai oleh Mohamad Zaki Abdul Halim, Sareepa Jearwe, Zuhairah Idrus, Nurul Syazwani Zulkifli dan Wan Norhaizar Harun.

Fahad Wittayathan School merupakan sekolah angkat UniMAP bagi program memperkasakan bahasa Melayu di wilayah Andaman Thailand.

Program perkongsian pintar sebegini dapat memanfaatkan pihak komuniti setempat melalui sumbangan kepakaran ahli akademik UniMAP selain berperanan sebagai salah satu bentuk program khidmat masyarakat dalam bidang pendidikan. – SM

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button