Politik

GPS terima tamparan, DAP tidak sokong usul hargai Taib Mahmud

KUALA LUMPUR- Dua Adun DAP Sarawak tidak akan menyokong usul bagi menghargai bekas ketua menteri dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Taib Mahmud.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, mengulangi ucapan takziah kepada keluarga Taib tetapi katanya, beliau dan Adun Pending, Violet Yong tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan.

“Bukan diri saya untuk bercakap buruk mengenai orang yang sudah meninggal dunia.

“Taib mungkin menyumbang kepada pembangunan negeri tetapi pentadbiran ketika beliau menjadi ketua menteri masih diselubungi rasa sangsi.

“Atas sebab itu, saya tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan. Pendirian saya dan rakan saya Adun Pending bahawa kami tidak menyokong usul ini,” kata Adun Padungan dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Usul bagi menghargai Taib dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg awal hari ini dan disokong timbalannya Datuk Douglas Uggah Embas.

Taib meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 21 Feb lalu. Beliau adalah ketua eksekutif kerajaan negeri paling lama berkhidmat, memimpin Sarawak selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014.

Beliau merupakan Ahli Parlimen kedua paling lama berkhidmat, mewakili Kota Samarahan selama 38 tahun dari 1970 hingga 2008.

Taib berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 2014 hingga penghujung Januari lalu.

Beliau pernah berdepan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, tetapi pihak berkuasa berkata ia tidak dapat bertindak kerana kekurangan bukti.

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button