Nasional

Kedaulatan institusi raja didorong kuatnya istiadat Melayu – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Masyarakat harus sedar bahawa kedaulatan Institusi Raja didorong kuat oleh adat istiadat Melayu melalui beberapa aspek utama termasuk legitimasi, kestabilan, pemeliharaan warisan budaya, dan pembentukan identiti kebangsaan’.

‘Institusi Raja bukan hanya pelengkap adat atau negara beraja-rakyat bersultan, tetapi berperanan sebagai kunci kestabilan negara yang bertindak menjadi pelerai atau penyelamat dalam merungkai sebarang kekusutan yang melangkaui di luar keupayaan penyelesaian oleh institusi-institusi perundangan, kehakiman dan eksekutif, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Baginda bertitah, ‘Adat istiadat Melayu kaya dengan simbolisme yang membantu memperkuat wibawa Raja, menciptakan citra yang dihormati di mata masyarakat, bercirikan nilai-nilai keadilan serta penjagaan keseimbangan dalam sistem pemerintahan. Raja berperanan sebagai pemimpin yang adil dan pelindung yang menjaga kepentingan rakyatnya’.

“Saya percaya sekiranya setiap daripada kita memahami, menghormati dan bersetuju untuk berpaksikan adat istiadat ini dalam kehidupan seharian, pasti tiada lagi wujudnya perbezaan yang mampu merosakkan kestabilan negara. Tiada lagi pertikaian atau perasaan serta perebutan pemilikan negara oleh satu-satu bangsa”, titah Tuanku Raja Muda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Seminar Institusi Raja 2024 (SIRaj VII) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Turut hadir sama adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari.

Seminar ini dianjurkan oleh UniMAP dengan kerjasama DBP yang bertujuan bagi memberikan kefahaman yang jelas dan relevan serta membekalkan maklumat kepada masyarakat tentang peranan, kedudukan dan sumbangan Institusi Raja agar rakyat akan terus mendukung dan mendaulatkan Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri-negeri dan negara Malaysia.

Forum SIRaj VII turut diadakan dengan penglibatan oleh tokoh-tokoh tersohor berkongsi maklumat tentang Institusi Raja dan pemimpin negara seperti Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan a/l Pandian, Profesor Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Syamrahayu binti Ab. Azizi dan Amin Idris sebagai moderator.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar masyarakat majmuk di Malaysia sewajarnya menghormati adat istiadat Melayu walaupun ianya berlainan daripada adat resam bangsa atau sesuatu kaum.

Tuanku Canselor UniMAP itu menyeru, seminar seumpama ini perlu terus dilestarikan bagi memperjelaskan lagi peri penting dan hubungkait adat istiadat melayu dengan Institusi Raja sekaligus memberi pencerahan kepada masyarakat umum untuk lebih memahami mengenai adat istiadat Melayu.

GALERI

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button