Politik

Langkah terpuji PH tidak bertanding di PRK Chini

TINDAKAN Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk tidak meletakkan calon PKR pada Pilihan Raya Kecil DUN Chini kerana bimbang Covid-19 disifatkan sebagai langkah terpuji.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin meminta setiap parti politik termasuk calon bebas seharusnya berjiwa besar dengan mencontohi langkah yang diambil oleh Majlis Presiden PH tersebut.

“Terima kasih kepada Pakatan Harapan (PH) kerana memutuskan tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang dijadualkan pada 4 Julai 2020.

“PH diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun membuktikan mereka lebih mengutamakan kepentingan dan keselamatan negara serta rakyat mengatasi segalanya,” kata Mohd Sharkar.

Menurut Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang itu, bukan masa sesuai untuk pilihan raya diadakan dalam keadaan negara masih belum bebas dari penularan pandemik Covid-19

Apa yang penting dan perlu menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah keselamatan negara dan rakyat dengan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Mohd Sharkar berkata tidak ada jaminan virus tersebut tidak merebak walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini.

“Jadi, langkah yang wajar dan tepat adalah tiada pertandingan di PRK Chini dan memberi kemenangan percuma kepada penyandang kerusi.

“Daripada wang dibelanjakan untuk PRK, adalah lebih wang itu digunakan untuk kebajikan rakyat yang terkesan teruk ekoran penularan wabak COVID-19,” kata Mohd Sharkar.

Menurut beliau parti-parti politik boleh berentap semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan rakyat akan menjadi hakim untuk memberikan mandat kepada parti yang berhak.

Semalam Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan PKR tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRK Chini  selepas mengambil kira keadaan wabak Covid-19 yang masih belum ditangani sepenuhnya.

“Aspek keselamatan dan kesihatan pengundi pada ketika ini masih menjadi kerisauan. PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih daripada 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya,” katanya.

BACA PH tidak bertanding di PRK Chini

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Allahyarham adalah calon Barisan Nasional, menjadi ADUN Chini dalam kawasan Parlimen Pekan selama empat penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 dan mempertahankannya pada PRU ke-14 selepas memperoleh 10,027 undi.

BACA PRK Chini: PKR Pahang sudah sedia lawan tapi akur keputusan pucuk pimpinan

Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR Mohamad Razali Ithnin (1,065).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh hari penamaan calon PRK DUN Chini pada 20 Jun dan pengundian awal diadakan 30 Jun manakala hari mengundi ialah pada 4 Julai.-SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button