AgamaNasionalNegeri

MAIPs pertahan Sijil Audit Bersih kali ke sembilan tahun ini

MAIPs Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus merekodkan pencapaian penerima Sijil Audit Bersih bagi kali ke sembilan pada tahun ini.

Pengarah Audit Perlis, Abd Aziz Che Daud berkata, MAIPs juga mengekalkan penarafan lima bintang dalam Pengauditan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2018.

“Selain itu juga berjaya mengekalkan pencapaian Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan bagi tempoh sembilan tahun berturut-turut bermula tahun 2012,” katanya.

Beliau melahirkan rasa puas hati di atas pencapaian ini yang dianggap sebagai kemuncak di sepanjang berkhidmat di Perlis dari 26 Jun 2018 sehingga 14 September ini sebelum bertukar ke Ibupejabat di Putrajaya.

Abd Aziz berkata demikian ketika ‘Majlis Sembah Mengadap Berundur’ ke hadapan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri DiRaja Arau, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Audit Negara Perlis atas segala nasihat dan sumbang saran sekaligus menyumbang ke arah penambahbaikan tadbir urus pelbagai jabatan dan agensi di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengauditan yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara Perlis yang melibatkan pemeriksaan, analisa dan nilaian sistematik ke atas penyata kewangan, rekod, operasi dan pentadbiran sesuatu organisasi telah berjaya menentukan sama ada prinsip-prinsip am perakaunan, peraturan dan prosedur dipatuhi.

Raja Muda secara khususnya menghargai sumbangan Abd Aziz dan berharap beliau yang akan bertukar keluar dari Perlis atas sebab kenaikan pangkat akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta semoga terus maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu di ibupejabat Putrajaya. – SM

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button