Ekonomi

Sukuk Kelestarian SME Bank terima Anugerah Terbaik oleh The Asset Triple A 2023

SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), telah menerima Anugerah Sukuk Kelestarian Terbaik bagi kategori PKS oleh The Asset Triple A sewaktu di majlis Anugerah Kewangan Islam 2023.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “Pada tahun 2022, SME Bank telah berjaya meluluskan pembiayaan bernilai RM3.25 bilion untuk sektor berkaitan ESG dan ini menandakan pencapaian penting dalam komitmen kami terhadap ini kelestarian. Dengan mendedikasikan dana khusus dan hasil daripada terbitan Sukuk, kami dapat menyokong projek yang menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, kemajuan sosial dan tadbir urus yang baik. Ini semua merupakan tonggak penting bagi ekonomi yang berkembang maju dan berdaya tahan.”

Sukuk Kelestarian yang memenangi anugerah ini merupakan terbitan Sukuk AAA kedua SME Bank yang diterbitkan pada bulan Ogos 2022. Terbitan ini telah mencatatkan permintaan sebanyak RM536 juta yang melebihi jumlah awal yang disasarkan iaitu RM300 juta.

Sukuk Kelestarian ini telah ditetapkan pada kadar keuntungan kompetitif 4.04%, menjadikannya pilihan pelaburan yang menarik bagi pelabur yang mencari instrumen kewangan patuh syariah yang mampan.

Zakiah Mat Esa bersama pemenang-pemenang lain Anugerah Kewangan Islam 2023

Datuk Wira Aria menambah, “Tambahan pula, ini merupakan anugerah ke-6 yang diterima untuk Program Wakalah Sukuk Kelestarian kami. Dengan pengiktirafan ini, Bank bukan sahaja menunjukkan dedikasinya untuk memperjuangkan piawaian dan nilai etika tetapi juga mempamerkan keupayaan kami untuk memberi kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Seiring langkah kami untuk terus memimpin melalui teladan, kami telah menetapkan tahap yang lebih tinggi untuk industri, memupuk landskap kewangan yang lebih mampan dan bertanggungjawab untuk masa depan.”

Program Sukuk Wakalah ini telah diberi penarafan AAA dan telah mencapai piawaian Emas Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), penarafan tertinggi di bawah rangka kerja Sukuk Kelestarian MARC. Penarafan ini adalah bukti kepada tahap kepercayaan kredit yang tinggi dan tadbir urus yang kukuh yang ditunjukkan oleh SME Bank dalam usaha menyediakan pembiayaannya yang mampan.

Kejayaan terbitan Sukuk ini tercapai dengan sokongan dan kerjasama institusi kewangan seperti RHB Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad.

PMKS yang berminat dengan kemudahan kewangan dan program latihan keusahawanan berkaitan ESG boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di talian 03-26037700 atau melayari laman web rasmi di www.smebank.com.my. – SM 

Artikel berkaitan > SME Bank sedia pembiayaan, latihan keusahawanan untuk PMKS Sabah

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button