fbpx
Politik

PRK Chini: PKR Pahang sudah sedia lawan tapi akur keputusan pucuk pimpinan

Pakatan Harapan Pahang dan Parti Keadilan Rakyat negeri itu sudah bersedia untuk berlawan habis-habisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang dijadual pada 4 Julai depan.

Bagaimanapun menurut Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh, PH dan PKR Pahang akan akur dengan keputusan Majlis Presiden PH untuk bersetuju supaya PKR tidak meletakkan calon.

Menurut Ahli Parlimen PKR Kuantan itu, keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

“Kita akan terus lawan BN, PN. PH dan PKR Pahang dah bersedia untuk lawan habis-habisan. Tapi akan tetap akur dengan keputusan pucuk pimpinan! Tentu ada hikmahnya!” kata Fuziah dalam ciapannya.

Pada 3 Jun lalu  Fuziah berkata, PKR akan mewakili PH di DUN Chini sekiranya gabungan itu bertanding pilihan raya kecil itu nanti,

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini mengumumkan PKR tidak akan bertanding PRK Chini berikutan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak COVID-19.

Saifuddin berkata, PKR juga berpandangan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan berkaitan perjalanan PRK itu, akan memberi kesan pada cara berkempen dan gerak kerja yang penting dalam pilihan raya.

“PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih daripada 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA PH tidak bertanding di PRK Chini

BACA Nizar, anak Bossku bertanding di Chini?

Sebelum ini, SPR mengumumkan PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun, dan pengundian awal pada 30 Jun depan, dengan kos keseluruhan PRK itu dianggarkan berjumlah RM4.3 juta.

DUN Chini kosong ekoran kematian penyandang, Abu Bakar Harun, 60, kerana serangan jantung pada 6 Mei.

Wakil rakyat BN itu menewaskan pencabarnya, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari PAS dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622 undi, selepas meraih 10,027 undi berbanding 5,405 undi dan 1,065 undi.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button