fbpx
Politik

Insiden DUN Melaka tiada kaitan kerajaan pintu belakang

INSIDEN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menolak pencalonan pengerusi PKR negeri sebagai senator tidak ada kena mengena dengan dakwaan penubuhan kerajaan pintu belakang.

Semalam dua Adun PKR  dikatakan bertindak keluar dewan sebelum usul kerajaan untuk mencalonkan pemimpin PKR menyebabkan DUN Melaka menolak usul pelantikan Datuk Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara selepas pengundian menyaksikan 13 ADUN menolak, 12 ADUN menyokong dan tiga ADUN berkecuali.

Kesemua 13 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak usul itu, 12 ADUN PH menyokong, bagaimanapun yang menarik perhatian adalah dua ADUN PH itu tiada dalam dewan ketika undian dilakukan, menyebabkan Speaker DUN Melaka Datuk Omar Jaafar mengumumkan keputusan sedemikian.

ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis berkata, kedua-dua mereka hanya  kecewa dengan kepimpinan PKR negeri kerana didakwa mengketepikan dirinya dan ADUN Machao Jaya, Ginie Lim daripada sebarang perbincangan termasuk pelantikan Senator itu.

Malah, Jailani juga menafikan konon tindakan itu adalah bagi menentang kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Melaka Adly Zahari.


“Insiden semalam tiada kaitan kerajaan pintu belakang, mahupun cuba menafikan usul dari kerajaan negeri. Bukan itu hasrat kami.

“Masalah dengan MPN (PKR) Mmelaka ini tak pernah ajak kami berunding dan ini bukan kali pertama.

“Isu ini telah lama berlanjutan, berkaitan pelantikan ahli majlis, seterusnya sampai ke insiden ini.

“Di mana kita dua exco bukan saja wakil rakyat tapi wakil pada parti. Seharusnya kami diajak berbincang dan berkongsi pendapat, tapi MPN PKR ini lebih amal sikap kronisme dan nepotisme yang kita tentang dalam PRU tapi ini diamalkan,” katanya kepada media selepas sidang DUN di Melaka hari ini.

Menurut Jailani, mereka bertindak keluar dewan kerana tidak mahu dilihat sebagai menentang usul berkenaan, sebaliknya menyerahkan kepada ahli-ahli dewan yang lain untuk membuat keputusan.

“Jadi kita tak menentang, tapi kami biar dewan memutuskan. Kami ambil langkah untuk tinggalkan dewan ini sebagai satu tindakan, tidak berniat malukan kerajaan negeri,” katanya.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button