fbpx
Politik

‘Saya sayang Lim Guan Eng kerana dia orang yang baik’

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng menghargai tindakan seorang lelaki yang memakai baju dengan tulisan Cina yang hadir menyokong beliau di Mahkamah Butterworth pagi ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkongsi di Twitternya gambar lelaki itu yang memakai baju berwarna hitam dengan tulisan bermaksud, ‘Saya sayang Lim Guan Eng kerana dia orang yang baik’.

Setiausaha DAP itu berterima kasih dengan keyakinan pemuda tersebut terhadap dirinya. Menurut Guan Eng dia tidak akan mengecewakan rakyat Malaysia.

“Kawan ini berada di mahkamah Butterworth awal pagi tadi memakai baju dengan mesej sokongan kepada saya.

“Bajunya tertera: “Saya sayang Lim Guan Eng kerana dia orang yang baik.” Terima kasih atas keyakinan anda! Saya tidak akan mengecewakan rakyat Malaysia,” ciap Guan Eng.


Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, akan menghadapi dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta, di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, berhadapan Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK), berkaitan kesalahan penyalahgunaan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Ogos, Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pada 10 Ogos lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 billion.

Zarul adalah Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Pada 11 Ogos pula, Guan Eng sekali lagi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), untuk rasuah wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button