Politik

Diberi 7 kerusi: PKR persoal semangat kesatuan yang dilaung Shafie

Angkatan Muda PKR Sabah mempersoalkan semangat kesatuan yang sering dilaungkan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam isu pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan media, mempersoalkan tindakan Warisan melanggar kerusi rakan dalam pakatan itu.

Jelas Razeef, PKR telahpun mengumumkan untuk bertanding 14 kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) iaitu Matunggong, Pintasan, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Petagas, Limbahau, Membakut, Klias, Kemabong, Sook, Sungai Manila dan Segama.

Bagaimanapun dalam pengumuman calon yang dibuat oleh Mohd Shafie semalam PKR hanya diperuntukkan tujuh kerusi sahaja.

“Namun semalam, Warisan mengumumkan bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Di sini saya ingin mempersoalkan di mana semangat kesatuan yang sering dilaungkan Shafie apabila dengan jelas melanggar kerusi rakan dalam pakatan?” kata kata Razeef dalam satu kenyataan.

Dalam pengumuman semalam Warisan akan bertanding di 46 kerusi, UPKO (12), DAP (7), PKR (7) dan Amanah (1).

Razeef turut menyatakan terkilannya apabila rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah dan DAP tidak mendapat jumlah kerusi yang selayaknya walaupun mereka mengorbankan beberapa perkara untuk mendapat perhatian Shafie.

“Antara perkara yang sanggup mereka lakukan adalah menolak calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyokong calon lain yang dicadangkan Tun Dr Mahathir, iaitu Shafie sendiri.

“Terkini, DAP dan Amanah sanggup memilih menggunakan logo Warisan sekali gus mengenepikan logo mereka dan logo PH, walaupun UPKO menggunakan logo sendiri atas dasar prinsip serta hormat kepada organisasi.

“Namun, apa yang berlaku Amanah cuma diberi ruang bertanding satu kerusi iaitu Tanjung Keramat serta terlepas beberapa kerusi berpotensi antaranya Pitas dan Sekong, manakala beberapa kerusi potensi DAP dirampas Warisan antaranya DUN Tulid serta beberapa DUN berpotensi buat DAP, ” katanya.

Razeef bimbang isu pengagihan kerusi yang tidak seimbang itu akan dilihat oleh rakyat sebagai tidak adil.

“Kita tidak terlalu risau isu agihan kerusi walaupun jumlahnya kecil, namun biar adil atas semangat muafakat dan kesatuan dalam Warisan Plus.

“Ini kerana rakyat memerhati dan tidak mustahil, jika bukan sahaja rakyat malah penyokong parti dalam Warisan Plus akan melakukan undi protes apabila mereka melihat WARISAN sebagai parti tamakkan kerusi,” katanya.-SM

 

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button