Berita

Kejayaan pertama bekas pekerja Utusan, Mahkamah Persekutuan lulus permohonan perbicaraan rayuan

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan untuk bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas syarikat ditutup, Mahkamah Persekutuan hari ini meluluskan pemohonan untuk meneruskan perbicaraan kes rayuan mereka ke mahkamah tersebut.

Menurut kenyataan daripada peguam bekas kakitangan, antara isu yang akan diputuskan di Mahkamah Persektuan nanti adalah sama ada rujukan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia di bawah seksyen 20(3) Akta Perusahaan 1947 tertakluk kepada kebenaran dibawah seksyen 451(2) Akta Syarikat 2016.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini diputuskan oleh tiga panel hakim iaitu Tan Sri Abdul Rahman bin Sebli, Datuk Nordin bin Hasan dan Datuk Abu Bakar bin Jais.

Bekas pekerja Utusan diwakili oleh firma Tetuan Mazri Halim & Partners, yang diwakili peguam Tan Chong Lii, Abd Halim Abdul Karim & Tuan Earn Yee , sementara Tetuan Dennis Nik & Wong yang diwakili
peguam Rajvinder Singh, Adhilani Jusoh @ Jusoh & Sera Foong mewakili UHY Advisory (Utusan Melayu).

“Berikutan keputusan pada hari ini, kita akan meneruskan dengan rayuan substantif ke Mahkaman Persekutuan bagi menentukan hak bekas pekerja Utusan yang ditamatkan perkhidmatan untuk meneruskan tuntutan mereka di Mahkamah Perusahaan,” kata Abd Halim dalam satu kenyataan.

Wakil pekerja, Saifol Bakhtiar Hamik berkata, keputusan mahkamah hari ini memberi sedikit cahaya kepada perjuangan bekas kakitangan yang telah berlangsung hampir lima tahun tanpa sebarang keputusan positif.

“Ia akan membuka ruang untuk meneruskan proses keadilan tuntutan pampasan kepada bekas pekerja, bukan sahaja bekas kakitangan Utusan tetapi juga bekas pekerja syarikat-syarikat lain yang juga terperangkap dengan permainan majikan ‘menutup syarikat dengan status pengulungan sukarela’,” katanya.

 

Beliau yang mewakili lebih 200 bekas kakitangan Utusan berkata, bekas pekerja berharap Mahkamah Persekutuan menerima rayuan dan keputusan tersebut untuk dijadikan rujukan “precedent” bagi kes yang sama, seterusnya membuka ruang keadilan dan memudahkan kepada bekas pekerja membuat tuntutan di Mahkamah Perusahaan.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan beberapa majalah terkenal telah menutup operasi syarikat dengan pengulungan sukarela pada Oktober 2019 dan syarikat telah diambil alih oleh pelikuidasi UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. untuk proses penutupan sepenuhnya.

Keadaan tersebut menyebabkan lebih 800 pekerja telah ditamatkan perkhidmatan dalam masa 24 jam tanpa sebarang bayaran pampasan yang mana bermulalah proses tuntutan pampasan yang bermula di Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa, Mahkamah Perusahaan tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan apa-apa kes tuntutan pekerja terhadap majikan atau syarikat yang telah ditutup dengan status ‘pengulungan sukarela’ dan hanya boleh berbuat demikian jika mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi.

Maka, lebih 300 bekas kakitangan telah memulakan proses memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk membicarakan kes mereka di Mahkamah Perusahaan dan tidak mendapat keputusan yanng diingini termasuk selepas kes dibicarakan di Mahkamah Rayuan.

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button