BeritaPendidikan

Pelajar Perlis perlu miliki ‘global mindset’ – Raja Muda Perlis

SEMUA pihak hendaklah memasang tekad untuk mampu melahirkan golongan pelajar negeri Perlis yang memiliki ‘Global Mindset’ supaya dapat menempatkan diri serta bersaing dalam bidang pilihan masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa suatu hari kelak.

Untuk mencapai matlamat tersebut, para pelajar perlu terlebih dahulu mempunyai kefahaman dan hala tuju kehidupan yang jelas, pintar dan bijak mengurus perancangan hidup serta pembelajaran.

Kejayaan yang cemerlang juga akan datang menerusi usaha gigih dan memaksimakan masa masing-masing selain faktor-faktor dalaman dan luaran lain.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat melancarkan ‘Program Titian Kasih Mega Tahun 2020’ anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Hotel Putra Regency Kangar pada pagi semalam.

Keberangkatan tiba baginda ke program yang bakal masuk tahun ke-13 ianya diadakan ini disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras Program, Kapten Azuan Mohd Nasir.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Hj Izmi Ismail yang juga merangkap Ahli Lembaga YTSP Perlis, para Pengetua, guru-guru serta fasilitator terlibat.

Selain Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, program ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Perlis, Pejabat Setiausaha Sulit DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, SW Corp Negeri Perlis, E-Idaman dan One Centre Malaysia Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra turut menambah bahawa generasi muda kita hari ini perlu terus dipupuk dengan nilai-nilai sahsiah yang murni bermula di peringkat sekolah lagi supaya berjaya melahirkan ahli masyarakat yang berakhlak mulia, berpekerti dan memiliki patriotisme yang tinggi.

BACA JUGA: JPJ Perlis sasar sifar aduan

https://suaramerdeka.com.my/jpj-perlis-capai-sasaran-sifar-aduan-rasuah/

Penerapan terhadap budaya hidup positif, aktif, sihat, cergas serta bebas daripada anasir-anasir negatif dalam kalangan pelajar seperti penyalahgunaan najis dadah hendaklah disampaikan dengan terperinci sebagai pencerahan jelas terhadap apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini.

Untuk rekod, sesi motivasi hasil cetusan idea baginda ini bakal melibatkan keberangkatan Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke sebanyak 12 buah sekolah menengah terpilih dalam kawasan Parlimen Kangar bermula pada 4 Mac sehingga 8 April berslogankan “Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan”.

Program kali ini juga akan terus mengekalkan konsep perkongsian ilmu serta pengalaman yang melibatkan beberapa topik dan tajuk yang difikirkan terbaik oleh pihak yayasan, selari, terkini dan relevan dengan perkembangan semasa dalam usaha mendidik generasi masa depan negeri dan negara yang terbaik.

BACA: Pusat dialisis perlu RM3 juta

https://suaramerdeka.com.my/dana-tambahan-rm3-juta-diperlukan-untuk-lengkapkan-pusat-dialisis-htf/

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close
Close