Nasional

KPKT peruntuk RM8.12 juta bangun komuniti Perlis

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Nga Kor Ming telah meneruskan siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Negeri Perlis hari ini dan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.12 juta untuk pelaksanaan 20 projek di Negeri Perlis.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah turun padang meninjau Kampung Warna Warni Seberang Ramai, Kangar Street Art, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Sena dan Pasar Borong Sena.

Turut hadir bersama ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Muhd Khair Razman  Mohamed Annuar.
KPKT telah meluluskan peruntukan seperti berikut:

1. RM1.5 juta untuk menyokong inisiatif Kajian Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 (Kajian Semula). Matlamat kajian tersebut adalah bagi memperkasakan pembangunan Negeri Perlis sebagai sebuah bandaraya yang mampan, inklusif dan makmur (Sustainable, Inclusive and Prosperous).

2. RM100 ribu bagi menyokong inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Perlis 2024 iaitu Street Art for Cities ‘Mental Health’. Ia bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mengetengahkan strategi untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong bandar sihat melalui aktiviti mobiliti aktif seperti berjalan kaki dan
penggunaan kenderaan mikromobiliti.

3. RM2.96 juta untuk penggantian 6 unit lif di Blok A dan B, PPR Seri Sena yang telah pun siap pada tahun 2023. Projek ini memanfaatkan 1,864 penghuni PPR Seri Sena.

4. RM1.7 juta bagi pelaksanaan lima (5) projek Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) di kawasan perumahan awam di Kangar. Ini termasuk pendawaian elektrik untuk lampu kawasan dan koridor, penggantian paip
retikulasi, penggantian bumbung, dan pembaikan kerosakan harta bersama seperti kebocoran tandas dan dapur.

5. RM480 ribu bagi pembinaan semula 6 unit gerai di Pasar Borong Sena telah pun siap pada tahun 2024. Projek ini turut dilengkapi dengan tandas lelaki, wanita dan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta kemudahan surau lelaki dan wanita bagi keselesaan peniaga dan pengunjung.

RM1.38 juta turut disalurkan kepada Majlis Perbandaran Kangar bagi tahun 2024 bertujuan untuk menaiktaraf lampu, tandas awam dan pasar. Menurut YB KM, “Peruntukan yang diluluskan ini adalah belanjawan berdasarkan prestasi atau “performance-based budget” untuk memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan. Tidak ada pembaziran, ketirisan, dan pemborosan.”

KPKT melalui jabatan dan agensi di bawah KPKT akan sentiasa bekerjasama dengan PBT di seluruh negara dan sektor korporat bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat. – SM

(Visited 20 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button