Sukan

Belum ada tawaran dari Perak untuk beli kasut emas – Khalid Jamlus

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus memberitahu belum ada pihak daripada pasukan Perak yang ingin membeli kasut emas miliknya yang ingin dijual.

Menurut Khalid, setakat ini hanya dua pihak yang membida iaitu individu dari Sabah dan pantai timur.

“Kalau ada pihak daripada Perak yang ingin nak ambil kasur itu untuk diletakkan dalam muzium sebagai kenangan, saya akan lepaskan dengan nilai yang berpadanan.

“Kasut itu memang nampak buruk tetapi nilai sentimental yang sudah berusia 18 tahun itu membuatnya nampak mahal.

BACA> Masih adakah sinar kehidupan Khalid Jamlus – bekas bintang bolasepak Perak

“Sebab pada tahun 2002, saya terpaksa bersaing dengan pemain import gred A untuk mendapatkan kasut emas itu,” katanya yang bermain untuk pasukan Perak pada ketika itu.

Khalid berjaya meraih anugerah kasut emas selepas menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana 1 pada musim 2002 dengan jaringan sebanyak 17 gol dan berjaya membawa Perak sebagai juara liga.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menerusi Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya bersimpati dengan kesusahan yang dialami bekas pemain Perak itu.

khalid jamlus
Khalid melelong kasut emas yang dimenanginya selepas menjuarai Liga Perdana 2002 dengan harga bidaan RM10,500 menerusi sesi Facebook Live. Foto Facebook Khalid Jamlus

“Saya sudah berbincang dengan beberapa rakan untuk membantu Khalid bagi membolehkan beliau meneruskan kehidupan dengan lebih baik tanpa perlu menjual sentimental value seperti kasut emas dan sebagainya,” katanya seperti dilaporkan media semalam.

Ditanya mengenai keputusannya untuk menjual kasut emas tersebut walaupun selepas berjumpa dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Khalid berkata dia akan meneruskan niatnya itu.

“Saya tidaklah bercakap panjang lebar berkenaan keputusan saya untuk menjual kasut itu kepada Timbalan Menteri.

“Tetapi buat masa ini, untuk saya meneruskan kehidupan saya memang kasut itu perlu dijual walaupun ada yang memberi kecaman dan sebagainya.

BACA> Sinar baharu buat Khalid Jamlus

“Saya susah tiada seorang pun yang bantu dan apa yang saya buat ini adalah untuk masa depan dan kelansungan hidup saya,” katanya.

Khalid sebelum ini menjual beberapa barangan kenangan termasuk jersi yang pernah dipakainya untuk mendapatkan wang perbelanjaan keluarganya.

khalid jamlus
(Dari kiri) Khalid Jamlus, Ahmad Shahrul Azhar dan V. Saravanan sewaktu bersama pasukan Perak.

Dia mendakwa terpaksa melakukan perkara tersebut ekoran tiada pekerjaan selama tiga tahun walaupun sudah meminta ruang dan peluang untuk menjadi jurulatih atau penolong kepada pihak yang berkenaan.

Keadaan yang mendesak itu membuatkan Khalid menjual koleksi peribadinya sepanjang bergelar pemain bola sepak menerusi lelongan di akaun Facebooknya. -SM

(Visited 642 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button