Sukan

Halep tarik diri, bimbang dijangkiti Covid-19

JAGUH No. 2 dunia, Simona Halep telah menjadi pemain keenam daripada 10 pemain wanita yang berada dalam ranking terbaik dunia menarik diri daripada kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) ekoran kebimbangan terhadap keselamatannya disebabkan wabak coronavirus.
Dalam beberapa kicauannya pada Twitter, semalam, Halep yang menjuarai kejohanan tenis Terbuka Prague, hujung minggu lepas selepas menewaskan Elise Mertens menjelaskan, bahawa dia berasa tidak selesa untuk terbang ke New York pada ketika ini dan sebaliknya akan meneruskan latihan di Eropah.
“Selepas menimbangkan kesemua faktor dengan mengambil kira keadaan tertentu, saya memutuskan untuk tidak terbang ke New York bermain pada Terbuka AS.
“Saya selalu berkata, kesihatan saya perlu diberi keutamaan dan saya lebih selesa kekal berlatih di Eropah sahaja.
“Saya tahu @usta (Persatuan Tenis AS) dan @WTA (Persatuan Tenis Wanita) telah bekerja keras bagi memastikan kejohanan itu benar-benar selamat dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua yang menyertai pertandingan itu,” tulis Halep.
Halep menyertai pemain No. 1 dunia, Ashley Barty; pemain No. 5 dunia, Elina Svitolina; juara bertahan yang juga pemain No. 6 dunia, Bianca Andreescu; pemain No. 7 dunia, Kiki Bertens dan pemain No. 8 dunia, Belinda Bencic mengumumkan dia tidak akan mengambil bahagian pada kejohanan di Flushing Meadows Grand Slam itu.
Karolina Pliskova, Sofia Kenin, Serena Williams dan Naomi Osaka, hanya empat pemain yang berada dalam ranking wanita 10 terbaik dunia yang telah menyatakan komitmen mereka untuk kejuaraan itu ekoran penarikan diri beberapa pencabar utama.
Pliskova adalah satu-satunya pemain yang tidak berpangkalan di AS dan menghuni ranking 10 terbaik dunia menyertai kejohanan itu.
Williams adalah satu-satunya pemain yang mara sehingga ke separuh akhir pada tahun lalu, dengan Andreescu, Svitolina dan Bencic bertindak menarik diri.
AS mencatat kes positif Covid-19 lebih 5.4 juta orang dengan 170,000 kematian.
Wimbledon dibatalkan pada musim ini, tetapi penganjur Terbuka AS percaya mereka mampu mengadakan kejohanan itu dengan selamat tanpa kehadiran penonton.
Juara bertahan Wimbledon, Halep bertindak mengunci mulutnya sama ada akan terbang ke AS sehinggalah dia selesai melengkapkan pertandingan pada Terbuka Prague. – Daily Mail UK – SM

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button