Bola SepakSukan

Tiada jaminan Wan Kuzri tersenarai dalam skuad akhir – Maloney

PEMAIN  berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal boleh menjadi aset kepada pasukan tetapi masih belum menjamin tempat dalam senarai akhir 23 pemain pada Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 pada Oktober, kata ketua jurulatih skuad B-18 kebangsaan Brad Maloney.

Pemain tengah Akademi Bola Sepak St Louis berusia 18 tahun itu menjadi bualan hangat apabila beliau akhirnya menyertai 34 pemain lain dalam latihan skuad B-18 Khamis lepas selepas penantian beberapa bulan.

Namun, situasi itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang menggambarkan beliau dinilai terlalu tinggi.

Bagaimanapun, Maloney berpuas hati dengan perkembangan Wan Kuzri buat masa ini.

“Adalah normal untuk seseorang menjadi sedikit berbeza…terutamanya yang datang dari luar negara. Tetapi seperti saya cakap, pemain (Wan Kuzri) perlu mendapatkan tempatnya berdasarkan merit.


“Daripada apa yang saya lihat setakat ini, beliau agak baik. Jadi, saya rasa beliau dapat menjadi aset kepada pasukan tetapi sudah tentu, tiada siapa yang dijamin mendapat tempat dalam skuad akhir,” kata Maloney kepada pemberita selepas sesi latihan skuad itu di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini hari ini.

Sementara itu, Maloney berharap dapat mengatur dua perlawanan persahabatan sebelum kem latihan berpusat berakhir pada Sabtu supaya beliau dapat melihat potensi sebenar Wan Kuzri.

Perlawanan persahabatan itu juga akan menjadi ukuran kepada kemajuan skuad kerana mereka berusaha untuk menjadi pasukan Malaysia pertama yang layak ke Final Piala Dunia Bawah 20 berdasarkan merit.

Maloney yang menggugurkan empat pemain daripada skuad latihan semasa berkata, kem latihan berpusat seterusnya akan diadakan bermula 3 Ogos ini.

Kejohanan Bawah 19 AFC 2020 yang dijadualkan diadakan di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Okt adalah pusingan kelayakan untuk Piala Dunia Bawah 20 pada 2021 (di Indonesia).

Malaysia diundi dalam Kumpulan D untuk kejohanan bawah 19 bersama bekas juara Qatar, Tajikistan dan Yemen. – BERNAMA

(Visited 90 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button