Negeri

Raja Puan Muda Perlis santuni komuniti Seberang Ramai sempena lawatan Menteri Belia dan Sukan

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni komuniti penduduk setempat bersempena lawatan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai pada jumaat petang.

Lawatan berkenaan adalah bersempena program “Jelajah Mesra Komuniti (JMK)” anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang mensasarkan penglibatan komuniti melalui lawatan dan aktiviti kemasyarakatan.

Keberangkatan Tuanku Raja Puan Muda Perlis disambut Hannah Yeoh dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Shariff.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perlis (ICU JPM), Maznah Musa dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan MAIPs, Halina Abd Wahid.

Program dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshe dan lawatan ke beberapa lokasi menarik di kampung berkenaan.

Antara lokasi yang dilawati adalah Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Rumah Sihat.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen dan Hannah Yeoh turut melaksanakan beberapa aktiviti bersama masyarakat setempat seperti dekorasi ‘Laksa Kuala Perlis’, permainan tradisional ‘Tok Jengkek’, senam ‘Tari Canggung’ dan mengacau dodol warisan tradisi.

Dalam ucapan beliau, Hannah Yeoh menjunjung kasih dan menzahirkan kekaguman atas limpah perkenan Tuanku Raja Puan Muda Perlis berangkat menyantuni rakyat selain turut komited untuk mempromosikan aktiviti sukan dan pemerkasaan belia di Kampung Warna-warni yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan baru menarik di Perlis.

Dalam masa sama, Hannah Yeoh turut meluluskan sumbangan tambahan beberapa peralatan sukan dan kecergasan di Kampung Warna-warni Seberang Ramai seperti set tiang gol, jaring dan kerusi kecergasan.

Kampung Warna-warni Seberang Ramai adalah merupakan perkampungan nelayan paling utara Malaysia yang telah menjalani program transformasi komuniti secara holistik, digerakkan MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta individu bermula tahun 2020.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button