Nasional

Pemangku Raja Perlis gesa semua pihak bendung keganasan

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa semua pihak agar berusaha membendung ancaman keganasan bermula dari kecil.

Titah baginda, kesedaran mengenai bahayanya aktiviti keganasan ini perlu diterapkan kepada anak-anak agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang menganggu gugat keselamatan awam dan negara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs siri ke 13 Tahun 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ikram Kariah Kg. Sena Arau, Guar Sanji.

Tuanku Pemangku Raja berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada 20 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Kg. Sena serta turut beramah mesra bersama anak-anak kariah usai program berkenaan. Masing-masing menerima RM700 dengan jumlah penuh RM14,000 pada sessi ini.

Mengiringi Baginda, Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Muhammad Abdul Halim dan Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Haji Hazman Hassan.

“Generasi penerus bangsa haruslah diberikan kesedaran untuk terus mengisi kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pahlawan terdahulu dengan menjaga keutuhan, keselamatan dan kedamaian negara,” Titah Tuanku Pemangku Raja Perlis.

Menurut Baginda lagi, generasi masa kini yang berada dalam dunia tanpa sempadan hendaklah diberikan kefahaman mengenai ‘garis merah’ yang tidak boleh dilaksanakan dalam memperjuangkan sesuatu ideologi serta mengutamakan tindakan rasional serta tidak radikal serta tetap utuh mentaati perintah Ulil Amri demi kestabilan negara yang berpanjangan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button