Nasionalpilihan

KPKT salur RM83.66 juta bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk Melaka

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah mengumumkan peruntukan RM83.66 juta kepada penduduk negeri Melaka dalam lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke negeri Melaka pada pagi ini. Peruntukan tersebut meliputi 17 buah projek menaik taraf dan membaik pulih yang merangkumi projek-projek baharu dan sambungan.

Beliau sebelum itu terlebih dahulu telah menyampaikan hadiah berjumlah sehingga RM10,000 kepada sembilan buah kampung pemenang Pertandingan Keceriaan Kampung Baru Tahun 2024 bertempat di Kampung Permai Machap Umboo, Alor Gajah.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) ini merupakan usaha bagi menggalakkan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mempromosikan keindahan serta kemeriahan Kampung Baru bersempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau telah meninjau Projek Penyelenggaraan bagi lapan  unit lif di Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Melaka bernilai RM950,000 ribu.

Ia  merupakan inisiatif di bawah Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) untuk membaik pulih dan penyelenggaraan perumahan berstrata awam meliputi  penyelenggaraan perumahan berstrata di seluruh negara kecuali di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebanyak RM50 juta peruntukan telah diluluskan pada tahun 2024 bagi PPP dan RM14.5 juta (58 projek) daripada Peruntukan Pembangunan (DE) adalah untuk menampung projek sambungan tahun 2023 di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM3.9 juta melibatkan 11 buah projek telah diperuntukkan khusus buat negeri Melaka bagi tujuan penyenggaraan perumahan awam bagi tahun 2024.

Dalam siri lawatan tersebut, beliau juga telah turun padang meninjau projek Menaik Taraf Medan Selera Sultan Muhammad, Batu Berendam, Tandas Awam Pintu Gerbang Ayer Keroh dan Tandas Awam Medan Kraftangan Ayer Keroh Zoo Melaka yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM540 ribu.

Sebanyak RM1.4juta peruntukan telah diluluskan oleh KPKT kepada negeri Melaka bagi pelaksanaan projek BP.1 dan kiosk bagi tahun 2024.

Lawatan Kor Meng seterusnya ke Taman Seribu Bunga yang dibangunkan menggunakan peruntukan berjumlah RM 7.58 juta. Ia meliputi pembangunan fasa 1 (tahun 2000) dan fasa 2 (tahun 2005) serta projek menaik taraf komponen landskap taman tersebut pada tahun 2023.

Pembangunan taman ini merupakan instrumen penting dan selari dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan keperluan ruang hijau demi keselesaan persekitaran kehidupan masyarakat setempat.

Pada sebelah petang pula, beliau telah melawat ke Residensi Klebang 2 yang terdiri daripada 800 unit jenis kediaman apartmen berkeluasan 1,000 sehingga 1,200 kaki persegi dibina atas tapak berkeluasan 10 ekar.

Residensi ini terletak berdekatan dengan pusat bandaraya Melaka serta mempunyai akses mudah melalui Lebuhraya Limbongan-Klebang. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti dewan serbaguna, taman permainan, tadika, taska dan surau.

Pembinaan projek ini telah bermula pada 9 Ogos 2016 dan kini dalam pembinaan dengan peratus kemajuan
sebanyak 97.53 peratus dan dijangka siap pada suku keempat 2024.

Pada akhir siri lawatan tersebut, beliau telah ke tapak Projek Tanah Milik PR1MA di Padang Temu, Daerah Melaka Tengah yang berkeluasan 15.7 ekar dan terletak hanya 5 km daripada Bandaraya Melaka.

Terdapat pelbagai kemudahan infrastruktur awam berdekatan seperti Mahkota Medical Centre, Stadium Hoki MBMB, Dewan Serbaguna PPJI, pusat pendidikan, masjid, dan kawasan komersial seperti Dataran Pahlawan Melaka Megamall.

Lokasi yang strategik ini menjadikan tanah ini  mempunyai potensi tinggi sebagai salah satu teras pembangunan strategik PR1MA yang sedang diperhalusi.

“Peruntukan yang diluluskan oleh KPKT ini adalah belanjawan berasaskan prestasi atau “performance-based budget”.

“KPKT melalui jabatan dan agensi di bawah KPKT akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk seluruh PBT, kerajaan negeri dan sektor korporat bagi merealisasikan perancangan pembangunan infrastruktur awam, penyelenggaraan kediaman serta penyediaan perumahan mampu milik dapat dilaksanakan secara komprehensif demi kesejahteraan rakyat bersama,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button