fbpx
Nasional

Dana tambahan RM3 juta diperlukan untuk lengkapkan pusat dialisis HTF

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) masih memerlukan dana tambahan berjumlah RM3 juta bagi melengkapkan kemudahan di bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata pihaknya memerlukan dana tambahan daripada sumbangan wakaf orang ramai bagi melengkapkan fasiliti dalaman dan juga bangunan.

“Kami (MAIPs) harap orang ramai akan terus menyumbang menerusi dana wakaf ini meskipun bangunan telah disiapkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan itu di sini, hari ini.

Pihak kontraktor menyerahkan bangunan itu kepada MAIPs yang kemudian diserahkan kepada HTF oleh Pengarah Kesihatan negeri Dr Sirajuddin Hashim yang mewakili Kementerian Kesihatan.

Majlis itu disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs, turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF itu dibina sejak 3 April tahun lepas dengan kos keseluruhan berjumlah RM6 juta yang mengambil masa kira-kira 22 bulan untuk disiapkan.


Pengarah HTF Dr Othman Warijo ketika ditemui berkata bangunan yang siap ini bakal menempatkan 68 mesin haemodialisis yang akan ditempatkan di sini secara berperingkat.

Beliau berkata fokus utama diberikan kepada asnaf untuk mendapatkan rawatan di sini yang dijangka beroperasi sepenuhnya kira-kira tiga bulan lagi.

“Ketika ini, Unit Haemodialisis di HTF hanya mempunyai kira-kira 20 mesin yang tidak berupaya menampung jumlah pesakit kira-kira 68 orang dalam giliran menunggu,” katanya.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button