Rencah Hidup

Rasai ‘air tangan’ polis di Bazar Ramadan IPK Kangar

HENDAK rasa air tangan polis, berkunjunglah ke Bazar Ramadan “Polis Food Corner”.

“Polis Food Corner” ini terletak bersebelahan pagar pintu masuk Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Jalan Kangar-Alor Setar.

Buat pertamakali juga pada tahun ini di mana kira-kira 20 gerai beroperasi dengan pelbagai jenis juadah makanan dan juga minuman untuk berbuka puasa.

Kata Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim semasa melawat gerai berkenaan, ia untuk memberi peluang kepada anggota dan juga ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perlis berniaga.

Mohd Shafiq mahir menggunakan mesin memerah air tebu untuk jualan di Bazar Ramadan “Polis Food Corner” bersebelahan IPK Kangar.

“Sekaligus kita memberi peluang kepada mereka untuk “cuba-cuba” berniaga selain tetap komited dengan tugas hakiki sebagai anggota polis,” katanya.

Jelasnya, bagi yang terlibat diharap pandai membahagikan masa supaya ia dapat berjalan seiring dengan mudah.

Beliau berkata, dengan berniaga seperti ini juga membolehkan mereka mendapat pendapatan tambahan terutamanya bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu katanya, anggota yang bertugas di IPK juga lebih mudah mendapatkan juadah untuk berbuka puasa tanpa perlu mencarinya dari tempat lebih jauh.

Sementara itu, anggota yang terlibat adalah Mohd Fansuri Rizal, 27, dan Mohd Shafiq Ramli 26, yang bertugas Bahagian Pengurusan mengakui seronok walau buat pertama kali bergandingan bersama untuk berniaga di Bazar Ramadan.

Mohd Fansuri bertugas menjual air tebu kepada pelanggan di Bazar Ramadan “Polis Food Corner” bersebelahan IPK Kangar.

Bagaimanapun kata Mohd Fansuri, gerai akan ditutup kalau Mohd Shafiq atau dia bertugas.

Katanya, tambahan pula hanya Mohd Shafiq sahaja yang mahir menggunakan mesin memerah air tebu.

Katanya, mesin itu juga kepunyaan Mohd Shafiq kerana keluarga dia memang menjalankan perniagaan air tebu.

“Saya hanya membantu membungkus dan menjual iaitu RM5 sebungkus,” katanya.

Mohd Shafiq berkata, kerja menjual air tebu agak rumit kerana setiap tebu yang dibeli perlu dikupas dan dibelah sebelum dimesin.

Biasanya dia melakukan kerja ini di sebelah malam sebaik selesai tugas rondaan. – SM

Artikel berkaitan > Pelajar KUIPs buat bubur lambuk untuk edaran percuma

(Visited 77 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button