Berita

Raja Perlis terima kunjung hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, TYT Andrew Goledzinowski di Balai Menghadap Biru Istana Arau pada malam semalam.Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.TYT Goledzinowski diiringi isteri beliau, Lyn Allan dan Setiausaha Pertama di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur iaitu James Bryan yang mengadakan lawatan kerja yang padat dengan program ke negeri Perlis selama dua hari bermula semalam.Dalam program berasingan pada pagi tadi pula TYT Goledzinowski dan isteri mengadakan kunjungan ke Kolej Matrikulasi Perlis (KMP)di Arau dan kemudiannya menyampaikan ‘Syarahan Eksekutif’ di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Pauh Putra.Sebelum meninggalkan Perlis, beliau singgah bagi melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang serba canggih di kampus induknya juga di Pauh Putra.Pada sebelah siang semalam beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, pihak pejabat Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Negeri Perlis dan juga Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebelum menyertai program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf’ bersama Tuanku Raja Muda Perlis yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Darul Ibadah Padang Behor, Behor Pulai, Kangar.Untuk rekod, TYT Goledzinowski mula berkhidmat di Kuala Lumpur sejak bulan Januari tahun lalu. Sebelum ini beliau pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan negara Australia di Wellington, Pretoria, Port Vila, Geneva, Baghdad dan New York.

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button