Nasional

MPKN hasilkan 25,036 set pelindung muka

PRIHATIN dengan kegigihan petugas barisan hadapan dalam melaksanakan amanah mengekang penularan wabak COVID-19, Majlis Pengakap Kelana Negara (MPKN) turut sama menabur bakti dengan menyiapkan sebanyak 25,036 set pelindung muka untuk kegunaan petugas berkenaan.

Timbalan Pengerusinya, Izzat Haziq Rahmad, berkata set pelindung muka berkenaan telah diberikan kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara bagi memudahkan mereka bertugas mengekang penularan wabak COVID-19 ini.

Melalui program “Rovers Face Shield Heroes”, dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM), mereka telah berjaya menghasilkan sendiri pelindung muka itu sejak projek itu bermula 25 Mac lalu.

“Sehingga semalam, kami berjaya mengagihkan kesemua 25,036 set pelindung muka kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Izzat berkata  lagi, bahan asas kepada pelindung muka berkenaan dibeli sendiri oleh MPKN dengan menggunakan wang ahli mereka yang bergelar Pengakap Kelana melalui tabung kutipan yang dilaksanakan.

Selain itu, mereka juga mendapat sumbangan orang awam serta beberapa syarikat swasta yang telah menaja bahan asas untuk menghasilkan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) terbabit.

“Pihak kami akan terus menyiapkan lebih banyak pelindung muka selagi mendapat sumbangan dana daripada pelbagai pihak termasuk orang perseorangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Secara tidak langsung, ia membuka mata pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, syarikat swasta dan juga orang awam untuk menangani wabak COVID-19 ini bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin memberi sumbangan bagi usaha mereka menghasilkan PPE ini, boleh menghubungi Izzat sendiri di talian 017-7703050. — BERNAMA

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button