Luar Negara

COVID-19: Thailand rekod dua kes baharu, tiada kematian

THAILAND melaporkan dua kes baharu COVID-19 membabitkan dua lelaki Thai yang baru pulang dari luar negara, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 setakat ini sebanyak 3,104 dengan 58 kematian.

Penolong Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata lelaki berkenaan ialah pelajar berusia 22 tahun yang baru pulang dari Rusia manakala seorang lagi pekerja kilang berusia 39 tahun yang pulang dari Kuwait.

“Kedua-dua pesakit tanpa gejala itu menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti kerajaan sejak kembali ke negara ini.

“Tiada kes baharu tempatan dilaporkan dalam tempoh 12 hari,” katanya pada taklimat media harian perkembangan COVID-19 hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Thailand (DOH) menyarankan agar mengehadkan pelawat di tempat tumpuan pelancongan untuk mencegah peningkatan kes COVID-19 kerana kerajaan Thailand bercadang untuk melonggarkan larangan dalam fasa keempat, dijangka bermula 15 Jun.

Ketua Pengarah DOH Panpimol Wipulakorn berkata tempat tumpuan pelancongan perlu mengamalkan kebiasaan baharu seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Bagi pengusaha pelancongan pula, beliau berkata mereka perlu menyediakan cecair pembasmi kuman, manakala tandas dan bilik air di kawasan pantai perlu dibersihkan setiap dua jam.

“Pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan garis panduan dan langkah-langkah untuk mengehadkan jumlah pelawat ke pantai bagi mengelakkan keadaan sesak,” katanya dipetik dalam Bangkok Post.

Singapura pula dalam pengesahan awal hari ini berkata terdapat 261 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 37,183.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, data pada tengah hari menunjukkan sebahagian besar kes itu masih melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat 11 kes dalam komuniti, iaitu enam adalah rakyat Singapura atau Penduduk Tetap dan lima adalah pemegang pas kerja,” menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Daripada 11 kes itu, MOH berkata enam dikaitkan dengan kes yang disahkan sebelum ini dan satu mempunyai kaitan dengan kluster asrama manakala penyelidikan epidemik masih berterusan untuk empat lagi.

“Bilangan kes yang lebih rendah hari ini sebahagiannya disebabkan ujian swab yang dijalankan berkurangan,” menurut MOH dan menambah ia masih menyelesaikan butiran kes tersebut dan kemas kini lebih lanjut akan dimaklumkan hari ini. – BERNAMA

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button