Politik

Mas Ermieyati janji menangkan Parlimen Masjid Tanah

Penyandang Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin melahirkan rasa terkejut apabila namannya diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Menurutnya, pengumuman tersebut adalah yang pertama dibuat dalam Siri Jelajah Prihatin PN setakat ini.

“Pengumuman malam ini amat mengejutkan dan saya ucap banyak terima kasih di atas kepercayaan Muhyiddin kepada saya diumumkan sebagai calon.

“Saya difahamkan ini (pengumuman calon) dibuat kali pertama kerana sudah beberapa negeri Muhyiddin pergi dalam Jelajah Prihatin PN, tidak ada pengumuman dibuat oleh mana-mana calon.

“Insyallah saya cuba buat yang terbaik dalam kempen ini bersama seluruh pasukan PN dan kami akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan kerusi PN di Masjid Tanah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah dekat sini malam tadi.

Pada PRU14, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan dua pencabarnya Datuk Dr. Sabirin Ja’afar (PKR) dan Nasir Othman (PAS).

Bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO itu kemudiannya menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Ditanya mengenai peluangnya untuk mempertahankan kerusi tersebut Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, beliau akan mencuba sedaya upaya untuk menang bagi membantu usaha PN menawan Putrajaya.

Mengenai pertembungan yang dijangka apabila nama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali disebut-sebut menjadi calon Barisan Nasional (BN) beliau berkata, siapa sahaja calon yang diletakkan jentera PN akan bekerja keras memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

“Kita jangka nama beliau (Sulaiman Md. Ali) namun siapa sahaja calon yang diletakkan kita akan cuba sedaya upaya untuk kita berkempen dan berjumpa dengan pengundi apa tawaran yang akan diberikan jika saya diberi mandat oleh pengundi di sini,” ujarnya. – SM

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button